Debat Tunas Muda galak kemahiran berfikir aras tinggi

Rahanim Abd. Rahim (tengah) meraikan pasukan SMAP Kajang (bersongkok) selaku juara dan pasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar di tempat kedua Debat Tunas Muda SBP Integrasi Gombak 2015 di sekolah itu di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak menganjurkan Pertandingan Debat Tunas Muda 2015 sebagai wahana bagi pelajar sekolah menengah menterjemahkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam mengupas sesuatu isu atau topik perdebatan.

Pengetua SBP Integrasi Gombak, Rahanim Abd. Rahim berkata, pertandingan ini merupakan platform terbaik untuk setiap pelajar mengembangkan potensi diri di samping mengasah bakat berdebat dan membentangkan sesuatu isu secara matang serta bernas.

“Oleh itu, pertandingan debat ini akan dijadikan acara tahunan,” katanya selepas pertandi­ngan akhir debat anjuran Panitia Bahasa Melayu, Jabatan Bahasa sekolah berkenaan di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang muncul juara edisi pertama debat ini setelah menewaskan Kolej Melayu Kuala Kangsar dalam pertandingan akhir.

Pendebat Kolej Melayu Kuala Kangsar, Muhammad Haikal Mansor diumumkan sebagai Pembahas Terbaik Pertandingan Akhir.

Antara sekolah yang dijemput menyertai debat ini termasuklah Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Sultan Alam Shah dan Sekolah Agama Menengah Batu Satu, Pekan Sabak Bernam.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

 

 

%d bloggers like this: