Bimbang ditukar sekolah antara punca tiada guru besar

KUANTAN 16 Nov. – Kebimbangan ditukarkan ke sekolah lain dikenalpasti sebagai salah satu faktor lapan buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini mempunyai kekosongan jawatan guru besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sekolah yang masih tidak mempunyai guru besar ialah SJKC Gambang di Kuantan, SJKC Mengkarak (Bera), SJKC Padang Tengku (Lipis), SJKC Kerdau (Temerloh), SJKC Sungai Penjuring dan SJKC Karak (Bentong) dan SJKC Kea Farm serta SJKC Kuala Terla (Cameron Highlands).

“Kekosongan jawatan guru besar tidak dapat diisi adalah disebabkan tiada calon yang memenuhi syarat lulus Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan dan pengalaman pentadbiran sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Terdapat guru-guru Penolong Kanan yang berkelayakan dan memenuhi syarat enggan memohon jawatan guru besar kerana bimbang ditukarkan keluar dari sekolah asal,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka) yang ingin tahu bilangan sekolah yang masih tidak mempunyai pengetua atau guru besar dan mengapa kekosongan itu tidak diisi.

Adnan berkata, jika ada calon yang layak, ujian pentaksiran dan temuduga akan diadakan dan calon yang melepasi kelayakan itu akan diperakukan ke Kementerian Pendidikan, dan keseluruhan proses mengambil masa selama dua bulan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) tidak akan menjejaskan sistem penyaluran air kepada penduduk di negeri ini khususnya di sekitar Bentong dan Raub.

“Kajian telah dija­lankan sebelum PPAMPS dilaksanakan dan ha­silnya tidak menjejaskan keupayaan Pengurusan Air Pahang Ber­had (Paip) untuk me­nyalurkan air, ma­lah memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan negeri,” kata­nya.

Beliau menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras) yang melahirkan kebimbangan jika penyaluran air mentah itu boleh menjejaskan sistem penyaluran air di negeri ini khususnya di Bentong dan Raub.

Mohd. Soffi berkata, PPAMPS yang merangkumi Empangan Kelau sebagai kawasan tadahan dan simpanan air seluas seluas 331 kilometer persegi khususnya untuk pembekalan air mentah ke Selangor.

“Fasiliti PPAMPS dijangka boleh beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan 2016 dengan Loji Rawatan Air Langat 2 siap dalam tahun 2017,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA