Ambil pandangan PIBG sebelum laksanakan projek

 

 

NOH OMAR (tengah) bersama sebahagian peserta dalam Konvensyen PIBG 1Selangor di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Turut kelihatan Abdul Rahman Ali (depan, empat dari kanan).

SEREMBAN 16 Nov. – Kerajaan ne­geri Selangor disarankan untuk mengambil kira pandangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekiranya ada pembangunan atau projek yang ingin dilaksanakan kelak.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini bagi memastikan pembangunan atau projek yang dilakukan di kawasan berhampiran sekolah tidak akan memberikan impak sama ada kecil atau besar kepada sesebuah sekolah.

Lebih menyedihkan kata beliau, ada sekolah yang terpaksa dipindahkan ke kawasan lain untuk meneruskan sesi pembelajaran kerana berlaku kerosakan infrastruktur utama bangunan sekolah ketika dan selepas projek dilaksanakan.

“Apabila berlaku perkara seperti ini yang akan jadi mangsa adalah pihak kementerian dan pelajar. Jadi saya cadangkan sebelum apa juga projek yang hendak dibangunkan mintalah pandangan daripada PIBG.

“Sepatutnya mereka perlu membuat pendengaran awam termasuk pihak PIBG untuk melaksanakan projek. Kalau ini tidak dibuat, maka apa yang akan berlaku kerajaan dan kementerian kena tanggung,” katanya selepas merasmikan Konvensyen PIBG 1Selangor di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek dekat sini semalam yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Rahman Ali.

Beliau mengulas permasalahan yang timbul melibatkan sekolah-sekolah di negeri Selangor yang di­terajui pakatan pembangkang.

Ini termasuklah masalah yang dihadapi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sungai Besi Indah yang mengalami keretakan akibat projek oleh pihak pemaju sehingga mereka ditempatkan di Taman Perindustrian Balakong.

Mengulas mengenai program itu, Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor menggesa PIBG agar terus bergiat aktif dalam melaksanakan program untuk kepentingan pelajar.

Jelas beliau, kerajaan telah menyediakan kemudahan asas untuk pihak sekolah dan terpulanglah kepada PIBG untuk memastikan ke­langsungan pendidikan anak-anak dapat dicapai.

“Pada masa sama, kita sudah tidak boleh lagi bergantung kepada pihak kerajaan untuk tujuan dana, sebaliknya PIBG perlu mencari satu mekanisme terbaik untuk mengumpul dana.

“Dalam hal ini, saya menca­dangkan kepada pihak PIBG untuk belajar daripada pihak PIBG sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) cara dan bagaimana untuk pastikan dana mencukupi untuk menjalankan kegiatan sekolah,” kata beliau.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: