Utamakan HIP berbanding DLP

TEO KOK SEONG

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Kementerian Pendidikan digesa mengkaji semula pelaksanaan program baharu, Program Dwibahasa (DLP) kerana dilihat seolah-olah mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan pada 2009.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pelaksanaan program itu bukan sahaja memberi masalah kepada murid khususnya yang tinggal di luar bandar, malah menjejaskan perpaduan dan bahasa Melayu itu sendiri.

Sebaliknya, beliau menyokong pelaksanaan Program Imersif Tinggi (HIP) kerana tujuan program itu dilihat selari dengan dasar memartabatkan bahasa Melayu serta memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam komuniti sekolah.

“Saya tidak bersetuju dengan pengembalian ‘PPSMI yang baharu’ ini. Semua pihak sudah melihat impak negatif yang dibawa dasar tersebut kepada pendidikan negara tetapi tidak sampai 10 tahun perkara ini ditimbulkan semula menggunakan nama baharu.

“Mungkin pelaksanaan DLP tidak menjadi masalah kepada sesetengah murid di kawasan bandar kerana mereka mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik tetapi bagaimana pula dengan mereka di luar bandar. Bahasa perlu diperkukuhkan sebelum diajar dalam subjek lain,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai pengenalan dua program baharu Kementerian Pendidikan iaitu HIP dan DLP dengan tujuan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dalam komuniti sekolah.

HIP merupakan program meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris melalui penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut manakala DLP pula adalah program pengukuhan bahasa Inggeris yang menawarkan pengajaran dan pembelajaran untuk beberapa subjek yang boleh diajar menggunakan sama ada bahasa Melayu atau Inggeris.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pengukuhan terhadap pendidikan literasi atau bahasa perlu diutamakan berbanding numerasi.

Katanya, kedua-dua program yang dingin dilaksanakan kementerian boleh membantu murid menguasai bahasa Inggeris namun perlu mematuhi prasyarat tersebut bagi mengelakkan kegagalan PPSMI berulang kembali.

“Jika dahulu, PPSMI menjadi satu polemik yang akhirnya memaksa kerajaan memansuhkan dasar berkenaan kerana murid-murid belum mampu menguasai bahasa Inggeris. Kajian jelas menunjukkan pembelajaran literasi adalah sesuatu yang sukar.

“Dalam tempoh 10 minggu, pencapaian murid dalam literasi adalah 85 peratus sebaliknya hampir keseluruhan daripada mereka mampu menguasai numerasi kurang daripada tempoh berkenaan. Jadi, literasi atau HIP adalah perlu diutamakan kementerian berbanding DLP,” tegasnya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: