SMK Bukit Gambir johan Choral Speaking

PASUKAN SMK Bukit Gambir yang muncul sebagai johan Pertandingan Choral Speaking Sekolah Menengah Parlimen Ledang 2015 di SMK Ledang, Tangkak, baru-baru ini.

LEDANG 4 Nov. – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir melakar sejarah untuk tahun kedua apabila dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Choral Speaking Sekolah Menengah Parlimen Ledang 2015 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Pasukan sekolah itu menjadi johan untuk dua tahun berturut-turut setelah menundukkan lapan sekolah lain dalam pertandingan yang diadakan di Dewan Utama Datuk Abdul Ghani Othman, SMK Ledang, Tangkak, baru-baru ini.

Tujuan Biro Pendidikan UMNO Bahagian Ledang menganjurkan pertandingan yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ini adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar sekolah.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Sains dan Matematik), Mohd. Rasyidi Mohd. Dom dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Ledang, Subri Sumirin.

Guru pembimbing pasukan SMK Bukit Gambir, Lee Meow Ling berkata, pengorbanan guru dan pelajar membuat persiapan selama tiga minggu berbaloi apabila berjaya mengekalkan kemenangan walaupun berdepan saingan sengit memandangkan sekolah lain mempunyai kelebihan tersendiri.

Katanya, pasukan pimpinannya mengorbankan masa selepas sesi persekolahan dan cuti hujung minggu membuat latihan bagi memantapkan persembahan dan segala penat lelah dirasakan berbaloi apabila berjaya mengekalkan kejayaan.

“Sokongan padu Pengetua, Amat Paijan Saruwal dan Ketua Bidang Bahasa, Rosmah Suleiman memberikan semangat kepada 35 peserta untuk mencipta kejayaan ini,” katanya ditemui selepas pertandingan itu.

Bagi Muhammad Abdul Azim Yusof, 13, dari SMK Ledang yang terpilih sebagai Konduktor Terbaik berkata, dia tidak menyangka menerima anugerah berkenaan kerana itu merupakan pengalaman kali pertama memimpin pasukan Choral Speaking.

Dia berkata, atas dorongan dan tunjuk ajar guru, tanggungjawab tersebut digalas dengan mengadakan latihan setiap hari selama sebulan selepas sesi persekolahan.

“Tahun ini sekolah saya mendapat tempat ketiga. Harapan pada tahun akan datang pasukan kami menjadi johan walaupun saingan cukup hebat,” katanya yang menerima plak, sijil dan wang tunai RM100.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: