Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan lahirkan profesional Islam

ZAMBRY ABD. KADIR (kiri) memperkatakan sesuatu mengenai perancangan pembangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di Mukim Lenggong di Lenggong, Perak, semalam.

LENGGONG 30 Okt. – Penubuhan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di setiap daerah merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi melahirkan golongan profesional berteraskan Islam khususnya dalam kalangan anak Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, setiap sekolah berkonsepkan asrama penuh itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, padang, dewan makan serta asrama yang boleh menampung sehingga 300 orang pelajar.

“Hari ini merupakan tapak yang kedua dilancarkan selepas majlis pecah tanah serupa dilakukan di daerah Batang Padang.

“Daerah lain yang terlibat termasuklah Kerian, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Selama, Batang Padang dan Hilir Perak. Projek pembinaannya yang dilaksana oleh syarikat kontraktor bumiputera, dijangka siap pada 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di Mukim Lenggong iaitu di daerah Hulu Perak di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Zambry berkata, lawatannya ke Lenggong antara lain bagi membincangkan langkah-langkah untuk membangunkan kawasan berkenaan yang telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sehubungan itu katanya, penjenamaan semula Lenggong dilihat amat penting memandangkan kawasan tersebut telah sinonim sebagai tapak kajian arkeologi, sekali gus berpotensi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Penjenamaan semula juga boleh dibuat dalam konteks penganjuran program tahunan seperti Lenggong International Food Festival yang bukan sahaja mempromosi makanan tempatan dari Lenggong, tetapi juga negeri Perak.

“Kita sedang merangka bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta pihak berkepentingan yang memiliki saluran televisyen antarabangsa misalnya, untuk menyiarkan penganjuran program tahunan ini nanti,” katanya.

Tambah beliau, seminar antarabangsa berkaitan arkeologi yang biasanya dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), turut boleh dibawa ke sini bagi menghidupkan lagi Lembah Lenggong.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: