Pelan banjir dan jerebu Kementerian Pendidikan

P. Kamalanathan sempat bergurau dengan pelajar yang mengambil peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kementerian Pendidikan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan seperti bencana banjir dan keadaan jerebu dengan menyediakan pelan sokongan untuk digunakan pada masa akan datang.

Timbalan Menterinya, P. Kamalanathan berkata, langkah itu bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat berjalan dengan lancar mengikut jadual tanpa sebarang penangguhan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya kejadian itu sudah tidak terkawal sehingga boleh menjejaskan keselamatan pelajar dan guru, keputusan yang berbeza mungkin akan diambil, namun perkara itu diharapkan tidak berlaku.

“Jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) kembali berada pada paras yang tidak sihat, kementerian akan menyediakan penutup hidung dan mulut kepada semua calon dan petugas SPM bagi memastikan kesihatan mereka tidak terganggu. Namun, setakat pagi ini hanya tiga negeri yang mencatat IPU sederhana dan selebih­nya paras baik.

“Bagi kawasan yang terlibat banjir, kementerian akan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti bomba, Rela dan tentera untuk mengadakan Operasi Payung (Ops Payung) untuk membantu calon-calon ke pusat peperiksaan dengan selamat dan teratur,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Datin Nawal Salleh dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Aminuddin Baki, Wan Zaidi Wan Jaafar.

Daripada lebih 440,000 calon SPM yang bermula hari ini hingga 8 Disember, seramai 216 pelajar adalah dari SMK Aminuddin Baki.

Dalam pada itu, Kamalanathan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam persiapan menjelang SPM di samping turut memuji kecekapan dan tahap kawalan keselamatan kertas soalan.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada semua guru dan penyelia kawasan (RO) kerana menjalankan tugas dengan baik. Tanpa komitmen daripada mereka, peperiksaan SPM pada hari ini mungkin akan menghadapi masalah.

“Semua calon SPM diharap akan melakukan yang terbaik dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: