SMK Seksyen 9 mampu lahirkan pakar F1 – Noh

Noh OMAR (tengah) dan Mohd. Hakim Samuri (berdiri, tiga kanan) bergambar bersama pasukan Plasma dan guru-guru pada majlis penyampaian tajaan di Shah Alam, Selangor semalam.

SHAH ALAM 28 Okt. – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 di sini mampu melahirkan pelapis pakar perlumbaan Formula Satu (F1) negara hasil perancangan rapi pentadbiran sekolah tersebut sejak enam tahun lalu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kejayaan sekolah berkenaan dalam beberapa pertandingan permotoran di peringkat antarabangsa boleh dibanggakan kerana disertai pelajar berusia 16 tahun.

Beliau yang dilantik sebagai penaung bagi pasukan sekolah itu yang dikenali sebagai Plasma, yakin mereka mampu menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan permotoran Formula One in School 2015 peringkat kebangsaan di Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM), Pekan, Pahang Khamis ini.

“SMK Seksyen 9 sebelum ini pernah memenangi kategori­ knock out dan Anugerah Inovasi peringkat ASEAN serta mendapat tempat kedua di belakang China di peringkat Asia dalam pertandingan­ berkenaan. Ini membuktikan anak-anak kita mampu menggegarkan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan tajaan kepada pasukan sekolah itu di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengetua SMK Seksyen 9, Abd. Hakim Samuri­ dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop.

Menurut Noh, berharap pasukan Plasma berjaya yang mewakili Selangor mampu melakar kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama negara di peringkat dunia dalam kejohanan di Texas, Amerika Syarikat pada tahun depan.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: