Kerajaan cadang banyakkan sekolah anak gelandangan

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Kerajaan bercadang menubuhkan lebih banyak sekolah untuk anak-anak gelandangan bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Kita ambil maklum tentang keperluan sekolah begini untuk golongan seperti mereka. Kita akan lihat apa cara dan kaedah yang terbaik, kita lihat apa yang boleh ditolong,” katanya kepada pada sidang media selepas melawat Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit di sini, hari ini.

SBJK merupakan satu-satunya sekolah yang dikhaskan kepada kanak-kanak dan remaja gelandangan di negara ini. Ia mempunyai 135 pelajar berusia antara empat hingga 18 tahun serta 11 guru, dan mempraktikkan konsep pembelajaran berbentuk santai.

Mahdzir berkata, antara perkara yang perlu dilihat dalam mewujudkan lebih banyak sekolah berkenaan adalah lokasi dan sasaran pelajar di sesebuah kawasan.

“Sebarang keputusan untuk menubuhkan sekolah jenis berkenaan perlu dibincangkan di peringkat kementerian,” kata Mahdzir.

Menurutnya kewujudan sekolah itu sebagai pendekatan terbaik untuk ‘menyelamatkan’ kanak-kanak berkenaan daripada terjebak kegiatan tidak sihat.

“Apa yang saya diberitahu, ada antara mereka yang datang dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ada juga gelandangan yang tiada rumah, tidur di mana-mana yang sempat,” katanya.

Mahdzir turut mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) membantu kerajaan merealisasikan hasrat ini.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: