Kementerian kaji perluas jawatan pembantu guru Bagi meringankan bebanan tugas guru – Menteri Pendidikan

MAHDZIR KHALID bersalaman dengan murid-murid ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Pengetua Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Zulkernain Fauzi (tiga dari kanan).

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Kementerian Pendidikan sedang mengkaji untuk memperluaskan inisiatif mewujudkan jawatan pembantu guru gred N17 di semua sekolah dalam usaha meringankan bebanan tugas guru.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini, inisiatif berkenaan telah dilaksanakan menerusi projek perintis melibatkan dua buah negeri iaitu Melaka dan Kedah.

“Untuk itu, kita perlu melihat jumlah sekolah dan murid terma­suk meneliti bayaran gaji bagi ja­watan itu yang perlu ditanggung se­kiranya inisiatif tersebut dilaksanakan kelak.

“Perkara ini akan dibincangkan secara teliti oleh jawatankuasa teknikal dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Bim­bingan Jalinan Kasih di sini, hari ini.

Inisiatif penempatan pembantu guru yang dijalankan menerusi Program Rintis Pemantapan Profesion Guru (PPG) di Melaka dan Kedah itu merupakan sebahagian usaha Kementerian Pendidikan ke arah me­ngurangkan tugas guru yang dibebani dengan tanggungjawab kerani.

Menurut Mahdzir, sebelum ini, program perintis itu dilaksanakan berikutan ada penambahan tugas bagi guru berdasarkan peredaran masa.

“Dahulu mungkin guru-guru ada 10 perkara atau tugas tetapi sekarang ini ada sedikit tambahan, namun pada asasnya selain mengajar guru sememangnya bertanggungjawab mengendalikan sukan, aktiviti komuniti (berkaitan ibu bapa) serta pentadbiran namun bukan aspek perkeranian.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, antara alternatif lain bagi mengurangkan bebanan tugas guru adalah dengan meningkatkan tahap capaian internet.

“Capaian internet yang tinggi mampu mengurangkan tugas guru, senario ini amat ketara terutamanya antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kawasan bandar capaian internet lebih tinggi berbanding luar bandar, malah capaian internet di pinggir bandar juga lebih baik daripada luar bandar, namun paling lemah adalah di kawasan pedalaman.

“Ramai guru yang mengadu me­reka terpaksa tunggu sehingga waktu malam untuk memasukkan data gara-gara capaian internet yang lemah. Saya berpendapat sekiranya capaian internet ini dapat di­tingkatkan maka tugas guru-guru ini boleh dipermudahkan,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: