Guru, sekolah bersedia laksana HIP, DLP

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Ke­semua 300 sekolah perintis yang terpilih bagi melaksanakan dua program baharu di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) berada pada tahap bersedia terutamanya daripada aspek tenaga pengajar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara kriteria utama pemilihan sekolah berkenaan adalah berdasarkan kesediaan pihak sekolah, ibu bapa termasuk guru-guru.

“Maka tidak timbul isu untuk guru-guru di sekolah berkenaan dihantar menjalani latihan mahupun kursus tambahan bagi tujuan tersebut kerana mereka semua telah bersedia.

“Malah kita juga telah mewujudkan sebuah makmal khas untuk memilih sekolah yang akan terlibat dalam program perintis itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Bimbi­ngan Jalinan Kasih di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan dua program baharu iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP) bagi tujuan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dalam komuniti sekolah.

HIP merupakan program untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris melalui peningkatan penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut manakala DLP pula merupakan program pengukuhan bahasa Inggeris yang menawarkan pengajaran dan pembelajaran untuk beberapa subjek yang boleh diajar menggunakan sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

Menurut Mahdzir, kesemua 300 sekolah itu dijangka melaksanakan dua program tersebut bermula tahun depan.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung status seorang guru besar yang hilang di Hutan Buluh Telur di Kuala Kubu Bharu, Selangor, beliau memberitahu, wanita itu masih belum ditemukan setakat hari ini.

“Bagaimanapun, saya masih belum menerima laporan penuh berhubung kehilangan guru ber­kenaan,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: