Tambah peruntukan percepat laksana sekolah satu sesi

Syed Anuar
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Hasrat mewujudkan sekolah kebangsaan yang bersifat satu sesi menjelang tahun 2017 perlu dipercepatkan melalui tambahan peruntukan oleh kerajaan dalam Bajet 2016 supaya usaha itu dapat direa­lisasikan segera.

Gesaan tersebut disuarakan Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Syed Anuar Syed Mohamad berdasarkan sasaran Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan agenda persekolahan satu sesi di kesemua sekolah kebangsaan pada 2017.

Katanya, penambahan peruntukan perlu bagi melaksanakan usaha tersebut yang kini dianggarkan hanya sekitar 20 peratus sahaja daripada seluruh sekolah kebangsaan yang telah melaksa­nakannya.

“Dengan terlaksananya persekolahan satu sesi, waktu petang murid-murid dapat digunakan untuk tujuan pemerkasaan pendidikan yang lebih perlu terma­suk penambahan pembelajaran subjek teras seperti Sains dan Matematik serta pemantapan pembelajaran bahasa ketiga.

“Bajet yang akan dibentang juga perlu memberi perhatian terhadap peruntukan khas bagi tujuan penambahbaikan Pusat Sumber Sekolah (PSS) khasnya sekolah di luar bandar yang memerlukan kelengkapan alat visual dan bahan bacaan yang terkini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Syed Anuar, peningkatan capaian jalur lebar juga perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan bagi mempercepat dan memperluaskan kawasan capaian jalur lebar berkuasa tinggi itu yang boleh disifatkan sebagai infrastruktur asas pada masa ini.

“Penyediaan kelas, sekolah dan sistem pendidikan yang bersifat masa hadapan adalah perlu terutamanya bagi pelajar di kawasan luar bandar agar tidak ke­tinggalan mengakses maklumat.

“GPMS juga berpendapat kerajaan dapat memberi peruntukan yang besar dalam pendidikan vokasional dan kemahiran agar lebih ramai tenaga kerja terlatih dapat dilahirkan yang kini hanya 25 peratus sahaja,” katanya

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: