Saintis muda SEMSAS raih emas pertandingan inovasi antarabangsa

Pasukan Saintis Muda SEMSAS meraikan kejayaan memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi di Hong Kong, baru-baru ini.

 

Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Kuantan mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih satu pingat emas dan satu pingat perak dalam The 30th China Adolescent Science and Technology Innovation Contest di Hong Kong, baru-baru ini.

Nashrun Naim Abd. Manaf, 16, dan Ahmad Iqbal Arif Azmin, 16, berjaya meraih emas melalui produk inovasi ciptaan mereka, kepingan simen daripada sisa buangan pertanian sawit.

Kata Nashrun Naim, idea menghasilkan produk ini diperoleh apabila membuat bacaan di Internet selain mendapati sisa buangan pelepah kelapa sawit merupakan bahan buangan yang paling banyak dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Penghasilan kepingan simen menggunakan sisa pelepah sawit dapat menjimatkan kos kerana bahan buangan ini mudah diperoleh dalam kuantiti yang banyak,” katanya ceria.

Pertandingan itu disertai pasukan pelajar dari 20 negara seluruh dunia antaranya Jerman, Sweeden, dan Jepun di samping hampir 500 penyertaan dari negara China.

Satu lagi pasukan Saintis Muda SEMSAS, Sarahizan Samsudin dan Anisah Syafiqah Mohd. Razi pula menang pingat perak melalui produk komposit polimer daripada tempurung sawit.

Sementara itu, guru pembimbing pasukan SEMSAS, Mohd. Fakharudin Mahmod berkata, pencapaian cemerlang ini adalah kesinambungan kepada kejayaan yang diperolehi dalam pertandingan inovasi dan pencipta muda di Indonesia pada Jun lalu.

“Di Indonesia, kami berjaya membawa pulang dua emas, dua perak dan Anugerah Produk Paling Kreatif,” kata Guru Cemerlang Kimia ini.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA 

%d bloggers like this: