Jerebu: Guru disaran guna VLE teruskan PdP

KHAIR MOHAMAD YUSOF

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Para guru disaran memanfaatkan platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) bagi memastikan proses pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) kepada murid-murid terus berjalan walaupun sekolah ditutup akibat jerebu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Khair Mohamad Yusof berkata, melalui VLE, guru bukan sahaja menyediakan tugasan kepada murid malah menyemak tugasan serta memberi ujian menerusi dalam talian.

“Dalam masa sama, pihak kementerian sendiri akan melihat semula isu jerebu ini dan mencari jalan memastikan PdP berjalan seperti biasa, salah satunya dengan menggunakan teknologi dalam talian.

“Jawatankuasa khas akan me­ran­cang memperkemas kini prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Pe­ringkat Kebangsaan 2015, di sini hari ini.

VLE yang merupakan projek di bawah 1BestariNet, adalah platform berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khair berkata, peperiksaan akhir tahun dan awam berjalan seperti biasa walaupun sekolah ditutup sehingga pengisytiharan darurat oleh kerajaan.

Sementara itu, katanya, anugerah tersebut adalah pengiktirafan kepada semua pihak yang telah menjayakan usaha untuk meningkatkan PdP serta pengurusan dan pentadbiran sekolah berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebanyak empat anugerah dipertandingkan iaitu Animasi Bercerita Digital (DST), Penggunaan VLE, Pusat Sumber Sekolah dan Pen­capaian Tahap Bes­tari.

Bagi Anugerah Penggunaan VLE, Wilayah Persekutuan Labuan muncul johan bagi kategori negeri terbaik, diikuti Johor di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat ketiga.

Bagi Anugerah Pencapaian Tahap Bestari, johan kategori negeri terbaik milik Terengganu, Perlis di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan Labuan di tempat ketiga.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

 

%d bloggers like this: