Guru pemangkin keharmonian negara

Pak Nil dan warga IPG Kampus Ilmu Khas Cheras bergambar kenangan sempena Program Pendidik dan Cintai Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Golongan pendidik mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap kelangsungan keharmonian negara pada masa depan kerana kebelakangan ini telah ada tanda-tanda semangat patriotisme semakin menipis dalam kalangan generasi muda masa kini.

Menurut pengacara terkenal negara, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Nil, istilah cinta akan negara ketika ini hanya tinggal sebutan semata-mata kerana tidak dizahirkan dengan penghayatan sebenar dan rasa semangat patriotisme yang tinggi.

“Malah, mutakhir ini, semangat patriotisme semakin menipis apabila sesetengah pihak tidak menghargai keunikan hidup dalam pelbagai etnik dan kaum di negara kita.

“Keadaan ini seterusnya, jika tidak dibendung, boleh mencabar keharmonian dan keamanan sesebuah negara dan memberikan ketidakselesaan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Oleh itu, harapan diletakkan kepada guru dan bakal guru iaitu siswa pendidik untuk sama-sama menyumbang usaha dan tenaga bagi memupuk kasih sayang akan negara dalam diri anak-anak murid nanti,” katanya.

Pak Nil yang juga ikon Cinta Malaysia Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata demikian kepada 600 bakal graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas dalam Program Pendidik dan Cintai Malaysia di kampus itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program ini merupakan susulan daripada program kerjasama antara IPG Kampus Ilmu Khas dengan LHDN bermula Januari lalu.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Percukaian LHDNM, Rohana Abdullah dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Kampus Ilmu Khas, Saharuddin Suhadi.

Seterusnya, Pak Nil menyarankan agar setiap graduan pendidik berperanan menyemai semangat cintakan negara dalam apa jua situasi sama ada waktu suka atau duka kepada anak-anak didik tanpa rasa jemu.

“Dengan teknik penyampaian dalam pengajaran yang dinamik dan mengikut keperluan murid di samping bijak menggunakan bahasa yang mudah difahami dan yang sesuai membolehkan seseorang pendidik mendekati murid secara berkesan,” tambahnya.

Sementara itu, Saharuddin ber­kata, IPG Kampus Ilmu Khas berperanan sebagai rakan kolaboratif dalam membantu menyebarkan pendidikan mengenai percukaian kepada murid dan masyarakat luar.

“Kami terlibat menjayakan program tersebut sebagai Sahabat Hasil IPG Kampus Ilmu Khas yang dianggotai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang menjalani Kursus Pengurusan Organisasi dan Pendidikan Percukaian pada April lalu.

“Sahabat Hasil ini sebagai ejen LHDN dalam membantu menyebarkan pendidikan mengenai cukai sewaktu mereka menjalani latihan praktikal di sekolah nanti,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: