Aktiviti kokurikulum pupuk keharmonian, perpaduan

Norliza Kamaruddin (duduk, tiga dari kiri) bersama-sama Wan Ghazali Wan Din (duduk, tengah) dan penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum SMK Bandar Damai Perdana di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana menganjurkan aktiviti Setia Kokurikulum sebagai satu inisiatif memupuk dan menerapkan semangat cintakan tradisi bangsa Malaysia dalam kalangan warganya.

Pengetua sekolah, Datin Norliza Kamaruddin berkata, aktiviti di luar bilik darjah ini dapat menggalakkan penglibatan secara harmoni para pelajar dalam kegiatan yang berasaskan budaya bangsa Malaysia.

“Aktiviti ini merupakan satu ke­sinambungan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan matlamat mewujudkan suasana bergotong- royong dan mendorong semangat bekerjasama,” katanya ketika ditemui di sekolah itu di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Setia Kokurikulum anjuran Pa­nitia Sivik dan Kenegaraan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Koperasi SMK Bandar Damai Perdana ini merangkumi pelbagai aktiviti memasak masakan tradisional dan persembahan kebuda­yaan kaum utama di negara kita.

Dalam program sehari itu turut diadakan permainan tradisi seperti Sepak Raga Bulatan, Galah Panjang, Guli, Gasing Pangkah dan Gasing Cina.

Di samping itu, turut diadakan sesi penghargaan kepada pelajar yang aktif dalam bidang kokurikulum sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun negara.

Menurut Norliza, pihak sekolah bukan hanya memberi penghargaan dari segi sijil penyertaan tetapi juga lencana khas yang menunjukkan tahap penglibatan mereka sama ada di peringkat daerah, nege­ri atau kebangsaan.

“Semua ini untuk memberi kese­daran kepada para pelajar bahawa aktiviti kokurikulum adalah penting dalam pembentukan sahsiah diri,” tegasnya.

Majlis Penyampaian Anugerah Kokurikulum SMK Bandar Damai Perdana dirasmikan oleh Komandan Maktab Tentera Diraja, Kolonel Wan Ghazali Wan Din.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: