Tadika, SRA terima bantuan RM71,800

Mas Ermieyati Samsudin menyampaikan bantuan kepada seorang penerima dalam majlis Sumbangan Kepada Sidang, Guru Tadika Jabatan Agama Islam Melaka di Alor Gajah, kelmarin.

ALOR GAJAH 5 Okt. – Sejumlah RM71,800 diperuntukkan untuk disumbangkan kepada semua tadika dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di bawah Parlimen Masjid Tanah di sini.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sumbangan tersebut termasuk komputer riba kepada SRA JAIM, wang tunai kepada tadika JAIM serta penyerahan baju korporat kepada sidang masjid.

Menurutnya, program sumbangan berkenaan adalah julung kali dianjurkan Parlimen Masjid Tanah membabitkan kesemua pihak terlibat bagi membantu kelancaran proses pembelajaran di sekolah tersebut.

“Melalui sumbangan ini, ia diharap dapat merancakkan aktiviti berkaitan pendidikan agama di parlimen ini selain membantu meningkatkan motivasi dalam kalangan murid, guru dan masyarakat setempat terutamanya ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Sidang, Guru Tadika Jabatan Agama Islam Me­laka (JAIM) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Parlimen Masjid Tanah dekat Paya Rumput, di sini, semalam.

Menurut Mas Ermieyati, sumbangan komputer riba tersebut melibatkan 32 buah SRA JAIM manakala sebanyak tujuh buah tadika JAIM masing-masing menerima sumbangan wang tunai bernilai RM500.

“Selain itu, kita turut mengedarkan baju-baju korporat kepada 53 sidang masjid sekitar Parlimen ini dalam usaha menyeragamkan pemakaian baju korporat dalam kalangan mereka,” katanya.

Tambah beliau, program berkenaan diharap dapat dilaksanakan pada masa-masa akan datang sebagai usaha membantu memberikan kemudahan secukupnya terutamanya bagi tadika dan SRA JAIM dalam Parlimen Masjid Tanah.

“Dengan adanya kemudahan mencukupi, ia secara tidak langsung akan membakar semangat murid untuk belajar bersungguh-sungguh selain memberi keselesaan kepada guru mengajar dengan baik,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: