Sekolah satu aliran: Jangan takut asakan

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Kerajaan tidak seharusnya takut dengan asakan sesete­ngah pihak yang menentang pembentukan sekolah satu aliran tetapi mesti terus berusaha merea­lisasikannya atas dasar membina identiti negara.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, perlu ada keazaman kuat bagi membentuk satu perkara yang bukan disebabkan agenda politik atau kuasa tetapi untuk perpaduan negara biarpun ada pihak tidak bersetuju.

“Sudah 58 tahun kita merdeka, itu satu tempoh masa yang cukup masak untuk melaksanakan sekolah satu aliran, jika tidak masyarakat akan terus bercakap dalam bahasa berbeza malah pembinaan ‘bangsa Malaysia’ hanya akan menjadi bayangan.

“Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya, bagaimana kita hendak membina masyarakat yang bersatu sekiranya pendidikan anak-anak diasingkan sejak awal lagi. Tidak ada di negara lain yang mengamalkan sistem pendidikan yang berbagai-bagai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau merupakan salah seorang ahli panel bagi program Bicara Persada Ke-23 bertajuk ‘Sekolah Satu Aliran: Keperluan dan Kemungkinan’ yang akan berlangsung pada pukul 2.45 petang Jumaat ini anjuran Institut Kajian Etnik dan Jabatan Canselori UKM di Bangi.

Seorang lagi ahli panel yang juga Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, cadangan penubuhan sekolah satu aliran dilihat sebagai satu mekanis­me untuk memusatkan hubungan etnik akibat polarisasi kaum yang bermula dari bawah.

Tegasnya, apa yang berlaku sekarang, kita membenarkan pe­ng­a­­­­­­singan etnik berlaku pada usia yang cukup muda menerusi sistem pendidikan vernakular.

“Dasar liberal yang kononnya memberi pilihan luas melalui kepelbagaian sistem tersebut jelas gagal menyatukan anak bangsa dan perlu dilihat semula.

“Apabila bercakap tentang sekolah satu aliran, bukan bermakna menutup sekolah Cina atau sekolah Tamil dan mereka tidak boleh mempelajari bahasa ibunda ma­sing-masing. Kita mahu mendukung aspek kepelbagaian itu tetapi di bawah satu bumbung,” katanya.

Tambah Kok Seong, sekolah satu aliran juga akan mengamalkan komponen-komponen yang ada dalam variasi sekolah di Malaysia termasuk Sekolah Kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) dan sekolah agama.

Sementara itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah yang akan membahaskan aspek perundangan dalam forum berkenaan berkata, rakyat Malaysia perlu memperkayakan di­ri dalam budaya yang berbeza.

“Jika kita tahu menghargai nilai-nilai kebudayaan yang ada di negara kita, Malaysia akan makmur. Masalahnya kita tidak pergi ke satu sekolah saja.

“Perpaduan adalah pilihan kita. Untuk menjadi sebuah masyarakat yang dinamik dan kuat, kita perlu bersatu di bawah satu bendera, satu ketua iaitu Yang di-Pertuan Agong, satu bahasa yakni bahasa Melayu dan lagu kebangsaan,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: