Membentuk anak berkeyakinan

KUALA NERUS 7 Okt. – Kokurikulum diberi penekanan dalam pendidikan prasekolah sebagai mekanisme penyemaian dan pemupukan sikap kendiri dan personaliti seimbang di kalangan kanak-kanak.

Kegiatan ini juga boleh menjadi asas kepada kalangan keluarga untuk bertemu yang memberi impak positif terhadap pemupukan sosialisasi yang sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

Ini turut diserlah dalam Karnival Pendidikan Prasekolah peringkat negeri yang diadakan ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir dengan penyertaan seramai 371 kanak-kanak seluruh negeri di samping kehadiran anggota keluarga memeriahkan lagi suasana.

Mereka yang mendapat pendidikan awal di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan seluruh negeri menunjukkan keupayaan dan bakat dalam pelbagai kegiatan yang turut dipertandingkan.

Dalam karnival kali ketiga ini, sebanyak 10 acara diadakan termasuk smart kick (futsal), fun ball (bola jaring), membaca skrip mudah (Bahasa Malaysia), nyanyian (bahasa Inggeris), congkak, reka cipta kiub binaan, mewarna, hafazan, menghias kek cawan di samping larian baton dan persembahan action song.

Kanak-kanak bersaing dengan penuh semangat dan tampil dengan cukup yakin berdepan dengan penonton dalam aksi sebagai atlet di padang mahupun sebagai chef, penghibur dan qari serta qariah di samping bekerjasama dalam satu pasukan.

Ruang yang disediakan itu mendedahkan mereka kepada seorang yang berdikari di samping membentuk kanak-kanak prasekolah yang berkeyakinan tinggi dan berani berhadapan dengan pelbagai situasi pada masa akan datang.

Perasmian karnival selama sehari itu disempurnakan isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria, dan majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin; Timbalannya, Mat Sor Ismail dan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Ahmad Shukor Mansor.

Tidak dinafikan, program sebegini penting untuk dilaksanakan supaya perkembangan sosio emosi dan sosialisasi kanak-kanak dapat dipertingkatkan di samping untuk membina asas pembelajaran ke arah pendidikan secara formal.

Halina berkata, penganjuran program seumpama itu secara tidak langsung memberi peluang kepada murid untuk terlibat dalam aktiviti di luar bilik darjah sekali gus meningkatkan kemahiran, keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif dalam diri mereka.

Menurut beliau, apa yang cuba ditonjolkan oleh murid prasekolah itu membuktikan kemenjadian murid telah berlaku di prasekolah di negeri ini.

“Saya percaya kemenjadian begini bukan sahaja lahir hasil komitmen tinggi dalam kalangan warga pendidikan di sekolah tetapi menyeluruh termasuk Jabatan Pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan ibu bapa.

“Saya berharap aktiviti secara holistik akan terus dirancang dan dilaksanakan sama ada di peringkat daerah, negeri mahu pun kebangsaan selaras untuk merealisasikan prinsip Transformasi Terengganu Baharu,” katanya ketika berucap.

Sementara itu Shafruddin berkata, selain memperkasakan pendidikan prasekolah karnival tersebut diyakini dapat mencungkil dan mengembangkan potensi kanak-kanak agar mereka berjaya dalam persekitaran sekali gus bersedia menangani cabaran di sekolah rendah kelak.

“Perkembangan positif program ini, kanak-kanak prasekolah bersedia sepenuhnya untuk ke tahun satu dan dapat menguasai Program Literasi dan Numerasi (Linus) disamping menguasai doa-doa harian seta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Pendidikan prasekolah merupakan satu keperluan dan kemestian yang perlu

dilalui oleh kanak-kanak bagi membina asas pembelajaran ke arah pendidikan formal.

“Tahun ini bilangan murid prasekolah di seluruh negeri adalah seramai 37,625 orang di 312 buah sekolah dengan masing-masing dibantu 468 guru dan pembantu pengurusan murid,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: