Jadikan sekolah sentiasa cemerlang

HASNI MOHAMMAD (empat dari kanan) memotong kek sempena Sambutan Jubli Emas SMK Benut di Pontian, Johor malam kelmarin.

PONTIAN 5 Okt. – Bekas pelajar diminta terus memberikan idea dan pandangan bagi membantu pihak pengurusan sekolah mereka mencapai kejayaan yang lebih cemerlang tanpa bergantung sepenuhnya kepada sokongan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sudah sampai masanya peranan bekas pelajar yang berjaya digembleng secara sepadu kerana dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, semua pihak harus berganding bahu untuk mencapai kejayaan.

Beliau berkata, setiap kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan pengorbanan daripada semua pihak, iaitu sekolah, pelajar, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan.

“Penubuhan alumni di setiap sekolah merupakan landasan atau jambatan bagi mereka menyumbangkan sesuatu untuk pelajar sama ada dalam bentuk tenaga, buah fikiran, harta mahupun kewangan.

“Oleh itu, sambutan ulang tahun penubuhan sesebuah sekolah perlu dijadikan galakan serta motivasi untuk pelajar meneruskan kecemerlangan seperti yang diteroka oleh para pelajar sebelum mereka,” katanya semasa merasmikan majlis makan malam sempena Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut di Dewan Baiduri, di sini, malam semalam.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Benut, Mastura Aladin Masro; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Aros Ibrahim; Pengerusi Alumni SMK Benut, Misran Basir dan beberapa pengetua sekolah berkenaan, iaitu Mohd. Kosnin Amat Kamari (1982-1990), Halidah Baba (1996–2004), Hasnan Jaafar (2008–2011) dan Hashim Mohd. Dom (2006–2007).

Hasni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata, ada dalam kalangan bekas pelajar mempunyai pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang membolehkan mereka memberikan idea untuk

meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut.

“Bagi mendapatkan tenaga kepakaran tersebut, alumni dan pihak sekolah hendaklah mempunyai data dan maklumat mereka yang mempunyai kebolehan tertentu untuk dilibatkan dalam program sekolah,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: