Yayasan Pahang fokus 
murid berkeperluan khas

MAHMUD
KUANTAN 1 Okt. – Yayasan Pahang memperkenalkan Program Pening­katan Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Pendidikan Khas dengan memberi fokus kepada murid berkeperluan khas.

Pengurus Besarnya, Mahmud Mohd. Nawawi berkata, program julung kali diadakan itu sebagai sokongan padu yayasan berkenaan terhadap usaha meningkatkan pendidikan murid berkeperluan khas di negeri ini.

“Sebelum ini kita hanya memberi tumpuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan, anak yatim dan Orang Asli. Namun tahun ini kita akan beri tumpuan kepada murid berkeperluan khas.

“Program kerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) serta Oasis Place itu adalah untuk meningkatkan pendidikan murid berkeperluan khas ini agar lebih cemerlang,” katanya selepas Majlis Penutup Bengkel Pengurusan Terapi Dalam Pendidikan Khas di Bukit Gambang Resort City di sini semalam.

Menurut Mahmud, pihaknya melihat golongan tersebut perlu diberi pendidikan yang sama seperti diterima rakan-rakan mereka yang lain.

Katanya, golongan itu amat memerlukan didikan yang sebenar bagi membolehkan mereka berdikari demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.

“Saya difahamkan dalam negeri ini terdapat 2,239 murid golongan ini sedang belajar di sekolah rendah manakala 1,246 di peringkat sekolah menengah yang memerlukan sokongan kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 120 guru dari seluruh negeri mengikuti bengkel tersebut yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam.

“Antara perkara yang dibincangkan dalam bengkel ini adalah pengurusan tingkah laku, terapi seni kreatif, terapi cara kerja dan teknik memahami,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: