Ubah format UPSR bukan langkah drastik

KHAIR MOHAMAD YUSOF

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Keputusan kerajaan mengasingkan kertas Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada dua gred mulai tahun depan bukan satu langkah drastik sebaliknya bertujuan menguji tahap penguasaan murid terhadap subjek tersebut.

Selain itu, jelas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamed Yusof, langkah tersebut merupakan salah satu daripada tindakan secara berperingkat menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap II bagi menambahbaik sistem pendidikan negara.

Menurutnya, murid-murid sudah didedahkan dengan teknik menjawab ujian berbentuk penulisan dan juga subjektif.

“Oleh itu, mereka tidak akan menghadapi masalah untuk me­ngambil peperiksaan dalam format baharu.

“Sudah semestinya keputusan UPSR tahun hadapan akan berubah, namun kita tidak dapat menjangkakan perubahan itu ke arah positif atau negatif. Tetapi, saya yakin murid-murid sudah bersedia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malah katanya, guru-guru bahasa Inggeris juga telah dimaklumkan berhubung format baharu itu dan mereka boleh mula meneliti format tersebut serta contoh instrumen UPSR yang baharu.

Beliau mengulas pe­ngumuman Pengarah Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendi­dikan, Datin Nawal Sal­leh berhubung ke­putusan kerajaan ter­sebut yang dilihat se­jajar dengan usaha untuk meningkatkan pe­nguasaan bahasa Ing­geris dalam kalangan murid.

Sehubungan itu, ca­lon UPSR bagi sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) akan memiliki enam hingga lapan gred dalam keputusan UPSR berban­ding sekarang lima hingga tujuh gred atau bergantung pada jumlah mata pelajaran yang diambil.

Mengulas lanjut, Khair berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran se­dia ada tidak akan ber­ubah dan setakat ini, tiada cadangan untuk menambah waktu pem­belajaran semua subjek yang terlibat dengan format baharu tersebut.

Menurutnya, guru-guru bahasa Inggeris juga boleh mula meneliti dan mencari kae­dah terkini bagi mendedahkan pelajar dengan lebih mendalam berhubung format baharu tersebut.

“Setakat ini, kita tidak akan menambah waktu bagi semua subjek yang terlibat namun mungkin akan ada perubahan dari semasa ke semasa bagi menambah baik proses pembelajaran dan pengajaran.

“Kita perlu lihat langkah ini secara positif. Format ini dilihat mampu melengkapkan pelajar dalam menguasai dan memahami bahasa Inggeris dengan lebih berkesan,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: