Pengambilan guru POL diteruskan

P. KAMALANATHAN (dua dari kanan) menyerahkan replika cek RM100,000 kepada guru SJKT Wellesley Lunas, N. Majiappan (kiri) dalam Majlis Penyerahan Peruntukan Khas kepada SJKT Kedah di Sungai Petani, kelmarin.

SUNGAI PETANI 2 Okt. – Kementerian Pendidikan menarik semula keputusan untuk menangguhkan pengambilan guru program Kelas Bahasa Ibunda (POL) seperti diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, tindakan itu dibuat setelah warga kementerian mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri Madinah kelmarin.

Berikutan itu, katanya, beliau memberi jaminan bahawa kelas bahasa ibunda yang selama ini banyak memberi manfaat kepada pelajar akan diteruskan tanpa ada sekatan.

“Saya berterima kasih kepada menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Madinah serta semua mereka yang terlibat kerana sudi menerima pandangan daripada beberapa pihak yang membangkitkan isu itu.

“Segalanya telah diselesaikan dan kami bersetuju bahawa anak-anak kita perlu diberi ruang untuk mempelajari bahasa ibunda kerana dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pun, kita mengharapkan pelajar sekurang-kurangnya perlu menguasai tiga bahasa dan itu bukan impian mustahil dalam negara unik seperti Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir ke Majlis Penyerahan Peruntukan Khas kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini di Kelab Cinta Sayang di sini semalam.

Dalam majlis itu, beliau me­nyam­paikan peruntukan berjumlah RM250,000 kepada empat SJKT di negeri ini sebelum mengadakan pertemuan bersama kepimpinan MIC negeri diketuai Senator Datuk Jaspal Singh.

Kementerian Pendidikan baru-baru ini menggariskan enam langkah tambahan penjimatan perbe­lanjaan mengurus untuk dipatuhi semua peringkat di bawah kementerian itu, berkuat kuasa 1 Oktober.

Antara langkah yang dicadangkan ialah pengurangan penyertaan pelajar dalam pertandingan antarabangsa, mengawal penggunaan utiliti dan menghentikan pengambilan guru sambilan pengajaran kelas POL serta guru ganti.

Mengulas mengenai peruntukan khas yang disampaikan itu, Kamalanathan menjelaskan pemberian tersebut merupakan antara sumbangan fasa pertama dalam Pakej Rancangan Khas 2013 untuk menaik taraf dan membaik pulih SJKT di seluruh negara.

“Dalam pakej tersebut, lebih 150 sekolah telah dikenal pasti untuk menerima bantuan penyelenggaraan ini dan pemberian akan dilakukan secara berterusan sebelum berakhir bulan ini.

“Bagi Pakej Rancangan Khas 2012 yang melibatkan 39 sekolah dengan peruntukan berjumlah RM260 juta, setakat ini 37 sekolah sudah pun diberi surat lantikan kontraktor, 50 peratus daripadanya sudah memulakan projek sementara bakinya sedang menanti kelulusan merancang daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: