Laksanakan segera sekolah satu aliran

ISU pelaksanaan sekolah sa­tu aliran kembali menarik per­hatian khalayak dan menjadi topik perbualan hangat. Kali ini dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang meng­utarakan betapa perlunya pihak kerajaan mengutamakan sistem per­se­ko­la­han satu aliran.

Menurut Abdul Wahid, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula seawal sekolah rendah lagi, selain sekolah satu aliran mampu menjamin pertumbuhan ekonomi melalui perpaduan kaum yang lebih kukuh dan meyakinkan.

Beliau memberi reaksi ini ketika menjawab persoalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes yang bertanyakan tentang prospek Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik banyak isu perkauman yang dibangkitkan kebelakangan ini.

Ironinya ramai yang mula tampil memberi reaksi positif kepada cadangan dan pandangan Abdul Wahid ini walaupun ia bukanlah suatu cadangan baharu.

Pelbagai pihak baik dalam kala­ngan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula memandang serius cadangan ini malah ramai juga secara terus terang me­nyatakan sokongan.

Andai sebelum ini kita kurang memberi perhatian kepada cada­ngan ini, maka setelah mengambil kira reaksi positif pelbagai pihak serta mengambil kira beberapa insiden dan konflik perkauman yang tercetus sejak kebelakangan ini, penulis berpandangan sudah tiba masanya kerajaan dan pemimpin politik dari semua kaum memberi perhatian serius mengenainya.

Menurut Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara serta Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong, masih belum terlewat untuk kerajaan ‘campur tangan’ melalui sekolah satu aliran menggunakan bahasa kebangsaan bagi memecahkan sentimen perkauman yang semakin menebal khususnya dalam kala­ngan generasi muda.

Sementara itu, Menteri Pendi­dikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata, sistem persekolahan satu aliran hanya boleh dilaksanakan jika adanya keberanian politik dengan mengambil kira soal integrasi nasional dan memerlukan perbincangan membabitkan wakil pemimpin semua kaum sebelum dapat dilaksanakan.

Hakikatnya, semua pihak cukup sedar dan mengakui betapa inilah masa terbaik untuk mengorak langkah secara serius bagi melaksanakan sekolah satu aliran demi masa depan generasi yang akan datang dan negara secara keseluruhannya. Tetapi sekali lagi persoalan klise di sini adakah kita mempunyai keberanian politik yang dituntut dan diperlukan itu?

Sejauh mana pihak kerajaan mampu bertindak dengan berani mengetepikan segala desakan politik dari pihak yang terlalu sukar untuk berkompromi dan kononnya memperjuangkan hak dan warisan kaum masing-masing? Masih sukar untuk kita mencari jawapan kepada persoalan ini.

Ternyata masih ada kumpulan yang dilihat terlalu ‘kebal’ dan sukar digugat apabila dikaitkan de­ngan kuasa, pengaruh dan soko­ngan politik demi survival politik parti masing-masing. Kelompok ini lebih mementingkan kepentingan kaum masing-masing dan sekali lagi gagal melihat isu dan masalah perkauman yang tercetus mutakhir ini dalam konteks yang lebih luas dan terbuka. Bagi mereka apa yang penting adalah menonjolkan diri sebagai hero di mata kaum masing-masing dengan cuba menegakkan benang yang basah.

Ambil saja contoh insiden di Plaza Low Yat dan pertembungan kumpulan baju kuning dan baju merah. Apakah kita mahu perkara seumpama ini berterusan dan secara konsisten mengganggu gugat keharmonian kaum dan perpaduan nasional?

Kenapa kita masih sukar untuk menerima kenyataan dan hakikat bahawa selepas 58 tahun merdeka tahap perpaduan rakyat sebenar­nya masih tidak begitu baik.

Perpaduan yang ada pada masa sekarang lebih berbentuk kosmetik dan permukaan sahaja. Ia jelas tidak kuat dan utuh seperti yang kita harapkan. Sedikit saja provokasi sudah cukup untuk mencetuskan konflik dan pertelingkahan kaum secara serius.

Rata-rata masyarakat me­ngakui masalah perpaduan kaum yang longgar ini berpunca daripada ke­gagalan untuk menyatukan anak-anak kita dari peringkat sekolah rendah lagi.

Pengasingan dan pemisahan yang berlaku di peringkat sekolah rendah selama enam tahun memberikan kesan yang cukup mendalam kepada kehidupan anak-anak kita. Mereka hanya bergaul dengan kelompok masing-masing untuk satu tempoh masa yang cukup panjang.

Maka kita tidak boleh salahkan mereka apabila tiba-tiba kita berharap mereka akan bergaul mesra dengan kelompok lain ketika memasuki alam sekolah menengah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Maka bagi penulis segalanya sudah terlewat pada ketika itu. Dan percayalah kesilapan ini terus berlaku sekian lama dan kita masih belum mampu membetulkannya.

Percayalah hanya sekolah mampu menjadi platform dan wadah terbaik untuk memupuk perpaduan nasional dan semangat ‘Saya Bangsa Malaysia’. Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu di­didik dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati kon­sep dan erti sebenar perpaduan di antara pelbagai kaum yang telah terbina sekian lama.

Penulis mencabar semua pe­mimpin politik dari pelbagai latar belakang kaum sekurang-kurang­nya untuk kali ini lupakan sejenak soal kepentingan etnik masing-masing.

Percayalah identiti kaum anda tidak akan lenyap begitu saja ha­nya kerana sekolah satu aliran dan menggunakan bahasa kebangsaan. Penulis percaya dalam sistem sekolah satu aliran itu sendiri kita boleh mewujudkan segala peluang yang diperlukan seperti meneruskan mata pelajaran ibunda masing-masing.

Apa yang penting sekarang ialah semua pemimpin politik yang mewakili kaum masing-masing perlu memasang tekad dan iltizam untuk mencetuskan fenomena keberanian politik yang kita cari selama ini bagi melakukan perubahan dan transformasi yang drastik.

Pemimpin politik ini perlu memainkan peranan untuk me­nerangkan kepada kelompok kaum sendiri tentang kebaikan dan ke­lebihan sekolah satu aliran serta betapa ia tidak akan sama sekali melenyapkan identiti kaum ma­sing-masing.

Agenda dan matlamat utama dalam soal ini hanyalah menjurus kepada kepentingan nasional dan perpaduan kaum demi masa depan negara ini.

Sampai bila kita mahu hidup dalam suasana dan persekitaran yang kurang kondusif dan kukuh seperti ini. Apakah kita mahu terus membiarkan anak-anak kita bercakaran sesama sendiri sampai bila-bila?

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: