RIMUP kukuhkan perpaduan di sekolah

KUCHING 18 Sept. – Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RI­MUP) berkesan mengukuhkan semangat perpaduan dalam jiwa ge­nerasi muda berbilang kaum di ne­gara ini.

Hal ini kerana golongan muda di peringkat sekolah rendah dan mene­ngah telah ditanam dengan perasaan saling menghormati dalam semangat kasih sayang di bawah program itu.
Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru di sini, Selamat Masuni berkata, program tersebut adalah inisiatif yang baik bagi me­nanamkan semangat keakraban antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.
Justeru katanya, RIMUP perlu diperkukuhkan dengan menambah peruntukan agar lebih banyak akti­viti dapat dilaksanakan oleh pihak sekolah.
“Secara keseluruhannya, RIMUP yang menumpukan kepada program akademik, sosial dan sukan sangat berfaedah kerana memberi impak besar kepada sekolah terutama perpaduan dalam kalangan pelajar.
“Kita di sini melaksanakan aktivi­ti RIMUP dalaman dan bersama sekolah kelompok iaitu SMK St. Mary dan SMK Bako serta sekolah-sekolah sekitar termasuk ibu bapa dalam program yang kita anjurkan se­perti Merdeka Raya, Sukan Tahunan dan Bengkel Akademik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Selamat yang juga penyelaras RIMUP sekolah itu berkata, pelajar di SMK Demak Baru yang majoriti Melayu dan Iban serta Bumiputera lain dapat berkenalan dan membina hubungan dengan pelajar sekolah lain menerusi program tersebut.
Melalui perhubungan itu, kata­nya, mereka secara tidak langsung dita­nam dengan perasaan hormat-menghormati dan mengetahui sensitiviti kaum yang perlu dielakkan.
“Di Sarawak, hubungan baik antara lebih 20 kaum dan etnik telah dipupuk sejak dahulu lagi. Bagaimanapun, RIMUP dapat me­ngukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada itu terutama di peringkat sekolah agar keharmonian dan keamanan dikecapi hari ini dapat te­rus dikekalkan pada masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, pemangku Pe­ngetua SMK Demak Baru yang juga Penolong Kanan Pentadbiran, Misia Zain berkata, hubungan para pelajar di sekolahnya amat baik walaupun berlainan warna kulit dan agama apabila mereka dapat belajar serta makan bersama.
“Tiada jurang antara kaum dalam kalangan pelajar di sekolah ini, apatah lagi dengannya program RIMUP yang boleh mengukuhkan jalinan silaturrahim mereka.
“Secara tidak langsung, integrasi nasional dapat dipupuk dalam hati mereka dari kecil lagi umpama pepatah `melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” ujar beliau.
Sementara itu, bagi pelajar Tingkatan Lima, Dayang Nur Syaza Awang Jos, 17, melalui program RIMUP seperti sambutan hari raya dan kemerdekaan negara, dia dapat mengenali kawan-kawan dari sekolah lain.
“Hubungan kami bukan ra­pat semasa program sahaja, malah berterusan selepas itu sehingga dapat bertukar-tukar kertas ujian untuk ulang kaji terutama menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kami juga dapat mengetahui lebih mendalam tentang budaya dan adat pelbagai etnik yang ditunjukkan menerusi program ini seperti fesyen baju pelbagai kaum, makanan  tradisional dan deklamasi sajak disertai sekolah lain,” katanya.
Pelajar Iban, Lee Marlvily, 17, berkata, dia teruja apabila dapat bergaul bersama rakan-rakan berlainan bangsa dalam acara tarian semasa sambutan Bulan Kemerdekaan baru-baru ini.
“Sangat seronok apabila dapat memakai pakaian tradisional Mela­yu dan menyertai acara tarian pada Bulan Kemerdekaan baru-baru ini. Penyertaan bukan sahaja dari  sekolah ini malah ada murid dari sekolah lain,” katanya.
Pelajar Tingkatan Empat, Nurul Izzah Shamsuddin, 16, juga gembira dapat mengenali ramai kawan baharu dari sekolah lain menerusi RIMUP.
“Kami dapat duduk bersama dan mengenali lebih rapat antara satu sama lain walaupun mempunyai latar belakang, kaum dan agama yang berbeza,” ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: