Pertandingan tarian pupuk integrasi kaum di sekolah rendah

PARA pemenang pertandingan tarian integrasi RIMUP peringkat Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bergambar kenangan pada majlis penutup pertandingan berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Pertandi­ngan tarian yang diperkenalkan di peringkat sekolah rendah sejak tahun lalu adalah antara pengisian yang dibuat bagi memupuk integrasi pelajar berbilang kaum di ne­gara ini.

Menurut Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Nor Adzmi Baba, melalui Pertandingan Tarian Integrasi itu, pelbagai elemen integrasi diterapkan dalam kalangan pelajar terbabit. Inisiatif di bawah Ranca­ngan Integrasi Murid Untuk Perpa­duan (RIMUP) itu, antara ranca­ngan jangka panjang Kementerian Pendidikan dalam usaha mencapai matlamat tersebut.

“Melalui pertandingan tarian ini pelajar pelbagai kaum yang menyertainya dapat bergaul dan lebih memahami budaya ma­sing-masing. Tarian menjadi alat untuk mengintegrasikan pelajar berbilang bangsa. Antara syarat yang dikenakan dalam setiap kumpulan mestilah dianggotai peserta daripada berbilang kaum supaya mereka dapat membiasakan diri dengan lebih rapat antara satu sama lain sejak kecil,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Pertandingan Tarian Integrasi RIMUP peringkat Negeri Wilayah Persekutuan di Dewan Serbaguna, Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Utama RIMUP Kebangsaan, Nadzaruddin Kasim berkata, integrasi juga dapat diterapkan  melalui pelbagai jenis pakaian berteraskan budaya berbilang kaum yang digabung­kan dalam satu pakaian untuk peserta.
“Dalam pakaian itu terdapat ele­men fesyen tradisional Melayu, Cina, India dan etnik dari Sabah dan Sarawak. Hasilnya ia menjadi satu fesyen pakaian yang unik dan ia boleh dipakai oleh semua kaum,” ujarnya.
Semua peserta daripada pelbagai kaum yang terbabit dalam pertandingan itu seperti Adam Harres Shahril, 9, dari Sekolah Kebangsaan Salak South begitu teruja menari sambil menggayakan pakaian yang unik itu.
Dia yang menjuarai pertandingan itu dalam satu kumpulan dengan pelajar Sekolah Kebangsaan Desa Petaling dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Salak South tidak kekok menari bersama rakan-rakannya.
“Walaupun kali pertama masuk pertandingan ini tetapi saya tidak kekok kerana telah berlatih selama sebulan. Saya juga tidak malu ke­rana ada ramai lagi kawan-kawan yang menari di atas pentas dengan saya,” katanya.
Dinesha Sathiya Moorthy, 9, dari Sekolah Kebangsaan Perem­puan Methodist mengakui  keunik­an gaya tarian dan fesyen pakaian yang dipakainya bersama para peserta lain dalam pertandingan tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: