Pelajar aliran agama dalami ilmu kemahiran

IDRIS JUSOH (tengah) bersalaman dengan pelajar-pelajar Kolej Komuniti sambil diperhatikan Zaini Ujang (dua dari kanan) dan Musa Ahmad (kanan) dalam Seminar Pendidikan Islam Sepanjang Hayat peringkat Nasional 2015 di USIM, Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 14 Sept. – Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) bakal membuka peluang yang luas kepada pelajar tahfiz, pondok dan maahad untuk mendapat sijil dan diploma dalam bidang kemahiran kelolaan kolej komuniti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pada waktu ini terdapat 40,000 pelajar tahfiz mengikuti 64 bidang kemahiran di 91 kolej komuniti di seluruh negara.

“Kita ingin melahirkan pelajar yang ada kemahiran dalam bilangan yang banyak, bukan hanya pengetahuan dalam bidang agama semata-mata.

“Dengan adanya program tersebut, matlamat itu dapat kita capai,” katanya selepas merasmikan seminar PISH yang bertemakan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat: Isu dan Cabaran di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Datuk Amir Md. Noor dan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Kata Idris, kolej komuniti mempunyai satu sistem yang modular dan stackable iaitu pelajar yang mengikuti program di situ boleh mendapat sijil dan seterusnya diploma walaupun tidak secara sepenuh masa.

Sementara itu, Idris berkata, se- minar yang berlangsung hari ini menghimpunkan ahli akademik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan, institusi dan agensi untuk sama-sama berkongsi pendekatan dan kaedah serta mengupas isu-isu dan cabaran melaksanakan PISH di institusi masing-masing.

Beliau berkata, kreativiti pemegang taruh dalam melaksanakan PISH membolehkan setiap rakyat mendapat akses pendidikan berkualiti bagi mempertingkatkan pengetahuan dan ilmu kemahiran.

“Berdasarkan tema yang dipilih, saya berharap satu resolusi, kesepakatan dan idea baharu dapat dihasilkan bagi memastikan PISH berjalan dengan terancang dan berkesan.

“Hasil seminar itu, satu Pelan Induk PISH akan diwujudkan,” katanya.

PISH merupakan satu agenda negara dalam usaha mempersiapkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dengan menggabungkan kemahiran dan pendidikan yang bersifat ukhrawi dan duniawi.

Program PISH memastikan golongan sasaran iaitu belia lepasan sekolah menengah, belia tercicir, pelajar dan orang awam mendapat pendidikan Islam secara formal yang berterusan di samping memperoleh ilmu kemahiran yang boleh menjana pendapatan sampingan dan meningkatkan taraf sosioekonomi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: