Perbincangan sekolah satu aliran permulaan positif

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Perbincangan secara sihat mengenai pelaksanaan sekolah satu aliran ketika ini merupakan satu permulaan yang cukup positif bagi menyemai integrasi kaum serta perkongsian ilmu dan budaya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya menyokong saranan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mencadangkan agar perbincangan berkenaan diadakan, baru-baru ini.

“Perkara ini amat penting dan saya sendiri mencadangkan agar perkara ini perlu dibawa ke Kabinet serta dilaksanakan secara serta-merta tanpa menghiraukan komen negatif dan tidak sihat dari­pada pihak lain.

“Semua sedia maklum dan sedar bahawa polemik perkauman ketika ini menjadi semakin serius dan ini memerlukan penyelesaian jangka masa panjang dan bukan bersifat ‘mi segera’, jawapannya adalah di peringkat sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau juga menyarankan agar masyarakat tidak melihat jenama sekolah kebangsaan sebagai sebuah sekolah Melayu tetapi lebih kepada tempat yang dapat menyemai semangat perpaduan dari peringkat awal di samping menuntut ilmu.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO Kedah juga mencadangkan ditubuhkan jawatankuasa teknikal yang berfungsi memberi nilai tambah dalam proses penambahbaikan sistem pendidikan sedia ada.

“Kajian semula itu juga perlu merangkumi sistem sedia ada yang bersifat integrasi di beberapa buah negara. Saya yakin ia mampu melahirkan sebuah sistem pendidikan yg benar-benar bersifat ‘kebangsaan’ dan bukan milik sesuatu bangsa serta agama semata-mata.

“Pihak yang ber­kepentingan seharusnya memainkan peranan penting serta sedia berkorban bagi menjamin mutu tole­ransi kaum yang lebih utuh pada masa akan datang,” katanya.

Shaiful Hazizy juga menggesa mana-mana parti politik tidak mudah menjadikan isu dan saranan Kementerian Pendidikan itu sebagai modal politik murahan bagi mencipta nama.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd. Rani berkata, cadangan sekolah satu aliran tersebut sebenarnya adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan negara ini.

Pada masa sama, beliau menggesa agar semua tokoh akademik dan parti politik berbincang mengenai cadangan penubuhan sekolah satu aliran tersebut yang dapat membantu merapatkan perpaduan generasi muda pada hari ini untuk kepentingan negara pada masa hadapan.

“Tokoh-tokoh politik digesa melepaskan perbezaan politik masing-masing dalam mencari titik persefahaman dalam menyelesaikan perkara ini.

“GPMS negeri percaya, kewujudan sekolah-sekolah ini tidak akan dapat menjejaskan bahasa kaum lain kerana ia boleh diajar di sekolah satu aliran ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Bahar berkata, penubuhan sekolah satu aliran tersebut dapat menyelaraskan dasar pendidikan negara agar selari dengan Penyata Razak 1956 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Justeru itu, GPMS negeri menggesa pihak kerajaan dapat memperhalusi cadangan penubuhan sekolah satu aliran tersebut,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Advertisements

Sistem interaksi sekolah tangani kes ponteng

WARGA SMK Seri Kembangan bergambar kenangan bersama Chong Sin Woon selepas majlis pelancaran Sistem Interaksi Sekolah itu di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

 

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kembangan mengambil inisiatif memperkenalkan Sistem Interaksi Sekolah (SIS) di sekolah itu dalam usaha menangani kes pelajar ponteng sekolah.

Pengetua SMK Seri Kembangan, Tay Keng Lee berkata, sistem tersebut akan mula digunakan bermula Oktober ini melibatkan 3,350 pelajar di sekolah itu dengan tujuan meningkatkan peratus kehadiran pelajar ke sekolah sekali gus mencapai sasaran 95 peratus kehadiran pelajar ke sekolah pada setiap tahun,

“Ibu bapa hanya perlu membayar RM2.50 untuk anak pertama dan RM1.25 untuk anak kedua bagi memantau kehadiran mereka ke sekolah.

“Sekiranya mereka tidak hadir, khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dihantar untuk memaklumkan perkara ini,” katanya selepas pelancaran program itu yang di­sempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon di dewan sekolah tersebut baru-baru ini.

Sistem ini juga membolehkan ibu bapa boleh mengakses kad laporan elektronik anak mereka pada bila-bila masa selain memantau kerja sekolah mereka,

Pada masa sama, sistem baharu ini juga merekodkan salah laku disiplin bagi membentuk sahsiah terpuji dalam kalangan pelajar selain pelaksanaannya dapat mewujudkan hubungan erat antara sekolah dan ibu bapa.

Sementara itu, menurut Sin Woon, Kementerian Pendidikan menyambut baik inisiatif SMK Seri Kembangan dan EMM Education Technology Sdn Bhd membangunkan sistem yang digunakan di peringkat dalaman sekolah untuk memantau kehadiran dan disiplin pelajar.

Beliau berkata SIS, sistem pertama digunakan di sekolah menengah di Malaysia, merupakan satu platform membolehkan pengetua, guru, pelajar dan ibu bapa berkomunikasi secara berkesan untuk mengurus dan memantau pelajar.

“Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi ini akan membantu pengurusan sekolah, mengurangkan beban guru tanpa menambahkan beban kewangan ibu bapa, jadi tiada halangan sekolah untuk melaksanakan sistem ini,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Saranan Mahdzir tepat pada masa – Perkasa

Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Saranan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa pemimpin semua kaum di negara ini perlu berbincang sama ada perlu atau tidak untuk mewujudkan sistem sekolah satu aliran, dilihat amat tepat pada masanya.

Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, langkah itu dapat membantu menyediakan generasi baharu yang bersatu padu dan jitu dalam menghadapi cabaran semasa di peringkat negara, serantau dan global.

Katanya, dalam keadaan semasa yang menyaksikan sebilangan besar kanak-kanak kaum Cina dan India belajar di sekolah bahasa ibunda masing-masing, adalah sukar untuk mereka mempunyai kawan akrab Melayu yang majoritinya daripada sekolah kebangsaan.

“Mana ada negara lain yang mengamalkan sistem sekolah pelbagai aliran seperti di Malaysia, malah semua negara ASEAN juga mengamalkan sistem sekolah satu aliran.

“Di Singapura mereka mengamalkan sistem sekolah aliran bahasa Inggeris untuk perpa­duan walaupun majoriti rakyatnya merupakan orang Cina,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mahdzir berkata, isu sistem sekolah satu aliran itu dan kepentingannya terhadap perpaduan nasional perlu difikirkan secara bersama oleh semua kaum negara ini.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, perpaduan rakyat dan kestabilan nasional merupakan prasyarat yang penting bagi membo­lehkan Malaysia terus membangun supaya kekayaan negara dapat dijana serta dikongsi secara adil dan saksama.

Katanya, semua pihak juga pernah melihat bagaimana negara maju dan kaya dengan sumber asli, runtuh berkecai kerana pergaduhan dalam kalangan rakyatnya sendiri malah perpecahan itu juga membuka pintu bagi kuasa luar untuk menjajah negara berkenaan.

“Jadi, di atas kesedaran ini dan sebelum terlambat, kita mesti membuat sesuatu yang kukuh, berani dan berkesan untuk memupuk semangat perpaduan rakyat bermula daripada bangku sekolah lagi.

“Bukankah melentur buluh itu mesti dari rebungnya? Ayuh, ketepikan ‘ego politik’ dan gantikan de­ngan keazaman politik demi memastikan keamanan dan kestabilan negara terus kekal,” katanya.

Sementara itu, beli­au berkata pada masa ini perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini amatlah rapuh seperti ‘te­lur di hujung tanduk’ sehingga berlakunya peristiwa Low Yat, perarakan baju kuning dan baju merah.

“Terlalu banyak persatuan dan aktiviti yang diadakan berlandaskan perkauman. Oleh itu, Perkasa mahu semua pemimpin dan pihak berkaitan segera menghalusi saranan itu bagi pelaksanaan sistem sekolah aliran Melayu secepat mungkin.

“Kami tidak menentang pe­me­r­kasaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda kaum lain. Jika, kita benar-benar mencintai perpaduan, kemakmuran yang adil dan saksama serta mahu ia terus berkekalan, inilah masanya untuk kita bertindak,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Belum terlewatkah sekolah satu aliran?

SUATU ketika sekitar tahun 2001, cadangan mewujudkan sekolah satu aliran di Malaysia mendapat perhatian daripada negara tetangga, Singapura.

Kata Menteri Kanannya waktu itu, Lee Kuan Yew, sistem pendidikan di Malaysia termasuk penghantaran pelajar ke sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menjurus kepada perkauman sehingga sukar bagi kerajaan memupuk perpaduan sebenar.

Kuan Yew (mendiang) yang men­dapat pendidikan Inggeris menganggap sekolah-sekolah Cina sebagai pusat pembenihan dan penyuburan perkauman Cina. Maka kerana itu sekalipun pengajaran bahasa Mandarin dikembalikan, Singapura tetap kekal dengan hanya sekolah Inggeris sebagai Sekolah Nasional.

Selepas kemerdekaan Singapura pada 1960-an, Kuan Yew bertindak nekad dan berani menutup sekolah-sekolah Cina dan Universiti Cina di Singapura. Mendiang menggantikannya dengan sekolah kebangsaan Inggeris di seluruh Singapura dan digantikan sebuah Universiti Cina dengan University Nasional Singa­pura pengantar Inggeris.

Walaupun ini dilakukan serentak dengan penutupan sekolah Melayu dan Tamil, tetapi menutup sekolah kaumnya sendiri yang merupakan majoriti besar rakyat Singapura memerlukan keazaman dan keberanian bertindak yang luar biasa untuk menghadapi risiko kekacauan dan rusuhan besar.

Dan apa yang berlaku rentetan tindakan nekad itu, Kuan Yew cemerlang memajukan negara jiran pelbagai kaum itu dengan strategi tertentu, antaranya kecemerlang­an pendidikan tetapi berteraskan perpaduan menerusi persekolahan satu aliran.

Itulah realiti yang melanda sistem pendidikan negara ini khususnya di peringkat persekolahan kerana masih dibelenggu dengan aliran Cina dan Tamil, selain aliran kebangsaan.

Kelemahan berhubung pelaksa­naan pelbagai aliran ini cukup disedari implikasinya kepada pencapaian sebenar perpaduan tetapi dipendamkan kerana sentimen kaum yang tebal dalam sistem persekolahan.

Yang lebih ditonjolkan ialah pencapaian perpaduan bersifat luaran seperti amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka semasa perayaan sambil meminggirkan keperluan perpaduan bersifat lebih sejati.

Ternyata beberapa pergaduhan dan ketegangan kaum bermula dari peristiwa 13 Mei 1969, peristiwa Masjid Kampung Rawa-kuil Raja Mathuraiveeran pada 1998 dan di Jalan Klang Lama merupakan isyarat mencemaskan betapa perpaduan rakyat pelbagai kaum begitu rapuh, sambil menuntut post mortem terbesar.

Maka antara perkara yang memerlukan penilaian semula ialah keperluan mewujudkan persekolahan satu aliran dan gagasan ini nampaknya mendapat sokongan tokoh-tokoh pendidikan.

Suatu ketika, langkah Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan Sekolah Wawasan merupakan antara langkah untuk mengatasi kelemahan yang ada dalam konteks perpaduan di peringkat seawal usia persekolahan.

Malangnya, usaha itu mendapat tentangan dan sukar dilaksanakan disebabkan ketaksuban kepada sekolah aliran mengikut kaum, berpunca daripada ‘kesilapan percaturan pendidikan negara’ sejak di awal kemerdekaan lagi.

Sedangkan, Sekolah Wawasan itu sendiri bukanlah jawapan sebenar kepada tuntutan perpaduan. Sebaliknya yang amat diperlukan ialah persekolahan satu aliran kerana ia persekitaran terbaik bagi membolehkan pergaulan berlaku di dalam kelas dan sekolah itu sendiri.

Cuma di Malaysia saja ada sekolah Cina. Itu konsensus yang dibuat oleh pemimpin kita terdahulu kerana kerajaan percaya kepada konsep kepelbagaian kaum.

Masih belum terlewat untuk Kementerian Pendidikan dikepalai Datuk Seri Mahdzir Khalid merencanakan pelaksanaan sistem persekolahan satu aliran bak kata Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong semalam.

Namun, cabaran besar dan getir perlu dihadapi kerana sebahagian kita masih gagal meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan kaum.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Belum terlambat kerajaan campur tangan

Teo Kok Seong
KUALA LUMPUR 22 Sept. – Masih belum terlambat untuk kerajaan ‘campur tangan’ dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara dan perpaduan antara kaum melalui sistem sekolah satu aliran.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memecahkan sentimen perkauman yang semakin menebal khususnya dalam kalangan generasi muda.

Jelasnya, kewujudan sekolah vernakular hanya akan memburukkan keadaan kerana berterusan melahirkan generasi yang cenderung mengamalkan polarisasi dalam kehidupan.

Malah katanya, Malaysia dilihat semakin hilang semangat perpaduan antara kaum apabila wujudnya masyarakat mengamalkan sikap berpuak-puak yang bukan hanya berlaku dalam arena politik negara, malah di peringkat institusi pengajian tinggi dan tempat kerja.

“Negara telah merdeka sejak 58 tahun lalu dan sepatutnya cukup matang untuk berdiri dengan bahasa rasminya. Ini tidak, bahasa yang dibawa oleh penjajah masih diagungkan.

“Masih tidak terlambat untuk negara dirikan sekolah satu aliran. Biarlah orang kata ‘sesat di tengah jalan tetapi pulang ke pangkal jalan’ daripada terus membiarkan negara dijajah semula oleh orang asing. Kerana itu mempertahankan perpaduan perlu segera dilakukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berhubung sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.

Tambahnya, tujuh jenis sistem pendidikan sekolah rendah yang ada pada masa ini juga menjadi ‘duri’ yang menghalang penyatuan pelbagai kaum di Malaysia.

“Kewujudan sekolah swasta, persendirian Cina, antarabangsa serta belajar di rumah perlu dimansuhkan sementara sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama digabungkan dalam sistem sekolah satu aliran.

“Belajar tanpa mengira bangsa (kaum) di dalam satu kelas akan melahirkan generasi yang menghormati agama lain, sekali gus perpaduan dapat dieratkan,” ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Utamakan sekolah satu aliran

Abdul Wahid Umar

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.

Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat sekolah rendah dan murid daripada pelbagai kaum seharusnya ditempatkan di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum.

“Saya ada dua anak perempuan seorang tahun enam dan seorang lagi tahun lima. Salah satu sebab mengapa saya hantar kedua-dua mereka ke sekolah kebangsaan adalah supaya mereka dapat mengenali orang (kaum) lain.

“Ia merupakan sekolah yang baik terletak di Putrajaya, tetapi malangnya tiada kepelbagaian kaum di sekolah tersebut. Terdapat juga murid daripada kaum India di sekolah itu, tetapi tiada daripada kaum Cina. Keadaan itu bukanlah sesuatu yang perlu diamalkan di negara ini,” katanya ketika menjadi ahli panel sempena Laporan Terkini Ekonomi Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang turut hadir pada sesi perbincangan tersebut. Tony bertanya bagaimana prospek Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik isu perkauman yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.

Dalam pada itu Abdul Wahid berkata, usaha membawa pulang hasil pelaburan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di negara asing untuk dilaburkan di negara ini adalah sesuatu yang baik bagi merancakkan kembali pelaburan domestik.

Katanya, sehingga Jun 2015, jumlah pelaburan bersih syarikat tempatan ke luar negara bernilai lebih RM500 bilion mengatasi pelaburan langsung asing di negara ini yang berjumlah RM477 bilion.

“Itu menandakan syarikat-syarikat Malaysia kini sudah menjadi jaguh dunia seperti Petronas, Kumpulan Sunway dan AirAsia. Selama ini kita mengalakkan mereka ke pasaran asing memandangkan pasaran domestik yang tidak begitu besar,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Cadangan mansuh sekolah vernakular tidak ancam bahasa ibunda

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Cadangan bagi memansuhkan sekolah vernakular di negara ini tidak perlu dilihat sebagai satu ancaman kepada bahasa ibunda masing-masing, sebaliknya secara positif, langkah tersebut mampu merencana perpaduan dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi.

SYED ANUAR

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pihak-pihak yang menentang cadangan itu tersalah faham dengan agenda sebenar langkah itu yang hanya bertujuan untuk menyatukan rakyat.

Menurutnya, jika dilihat secara positif, cadangan tersebut tidak menghapuskan identiti kaum di negara ini kerana sistem pendidikan yang merangkumi pelbagai bahasa telah diperkasakan oleh kerajaan tanpa melupakan mana-mana kaum.

“Sebagai contoh, kita ada subjek Bahasa Iban. Jadi, apabila cadangan ini diutarakan, apa yang perlu dilihat adalah matlamat yang perlu dicapai dan bukannya terasa terancam kerana khuatir kehilangan identiti masing-masing.

“Malah, kerajaan perlu meyakinkan golongan-golongan yang menentang cadangan tersebut bahawa langkah itu tidak akan mengancam identiti, sebaliknya dapat mengukuhkan lagi keharmonian di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pre­siden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Syed Anuar Syed Mohamad yang berpendapat, langkah itu turut merangkumi kesediaan kerajaan memansuhkan sekolah vernakular secara beransur-ansur tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing seperti Cina, Tamil dan bahasa etnik lain.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Othman Lebar berkata, cadangan tersebut dilihat mampu mengukuhkan hubungan antara pelajar-pelajar yang berbilang kaum kerana mereka belajar di bawah satu bumbung.

Katanya, ibu bapa juga perlu dijelaskan berhubung model pendidikan tersebut supaya penerimaan itu lebih meluas serta dapat memahami dengan lebih baik lagi budaya dan cara hidup antara satu sama lain.

“Apa yang penting, kita mahu perhubungan kaum itu benar-benar berlaku dan tidak dipaksa-paksa. Sistem yang dicadangkan ini harap dapat menghasilkan hubungan yang jitu antara pelajar berbilang kaum.

“Malah, untuk merealisasikan cadangan tersebut, sistem pendidikan di negara ini juga perlu diperkukuh supaya pihak-pihak yang gusar kehilangan identiti mereka mampu menerima cada­ngan itu,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA