Penuhi keperluan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain membuat pembentangan berkaitan Model ASIE yang meraih Anugerah Persembahan Terbaik dalam Persidangan Pendidikan Antarabangsa London, baru-baru ini.

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam prakata buku Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menyatakan bahawa transformasi pendidikan bukan sekadar menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, malah perlu menjurus kepada usaha untuk memahami dan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Berdasarkan aspirasi PPPM 2013-2025 ini jelas bahawa pengajaran guru bermula dengan proses merancang pengajaran.

Oleh itu, Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE buat pertama kalinya dirangka untuk dijelmakan dalam proses me­rancang pengajaran guru yang menjadi tonggak kepada keberkesanan memahami dan menambah baik proses PdP guru.

ASIE adalah akronim bagi komponen A – Analyse (Analisis), S – Strategise (menyusun strategi), I – Implement (melaksana) dan E – Evaluate (menilai). Kesemua komponen bertindak sebagai prosedur merancang pengajaran (instructional planning) di peringkat makro untuk diaplikasikan di peringkat mikro iaitu pembentukan beberapa rancangan pelajaran harian (RPH).

Ia juga merupakan prosedur guru merancang pengajaran mengikut keperluan pelajar.

Model ini merupakan transformasi dalam amalan profesion perguruan dengan lebih memberi penekanan terhadap strategi pembelajaran (pemusatan murid) daripada semata-mata strategi penyampaian pengajaran.

Pendekatan baru ini hasil daripada penyelidikan yang memberi peluang kepada guru dan pelajar secara kolaboratif melibatkan diri dalam meneroka potensi dan mengaplikasikan stategi yang dicadangkan, menambah baik ilmu dan kemahiran ke arah pencapaian keperluan pembelajaran abad ke-21 untuk mewujudkan “persekitaran pembelajaran yang aktif & inovatif” yang berkaitan rapat dengan isu kebolehpasaran graduan.

Pelaksanaannya berlandaskan konsep PLUS – Planning, Utilizing, Sharing (merancang, mengguna, berkongsi) maklumat perancangan guru.

Model ini bersifat interaktif, integratif, preskriptif, dan konstruktif serta memberi ruang yang fleksible kepada guru untuk memasukkan elemen-elemen tambahan ke dalam model ini.

Model ini memaparkan Lembaran Kerja Integrasi Pelbagai (Multiple Integration Worksheet, MIW) sebagai mekanisme pemusatan strategi perancangan yang membentuk amalan terbaik untuk pelajar ke arah pengintegrasian pelbagai elemen dalam PdP.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: