Model reka bentuk pengajaran ASIE bertaraf dunia

Dr. Ismail Zain (kanan) memberi penjelasan tentang Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE kepada peserta bengkel Persidangan Pendidikan Antarabangsa London di Hotel Kensington Close, United Kingdom, baru-baru ini.

 

Sekali lagi, Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE yang dihasilkan oleh Mantan Pensyarah Cemerlang Gred Khas B Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh, Perak, Dr. Ismail Zain meraih anugerah di pe­ringkat antarabangsa.

Kali ini, model ASIE memenangi Anugerah Persembahan Terbaik di Persidangan Pendidikan Antarabangsa London di United Kingdom (UK) setelah meraih anuge­rah yang sama di Persidang­an Pendidikan Antarabangsa di Beijing, China pada Mac lalu.

Persidangan di London selama tiga hari itu disertai 333 peserta dari 52 negara serata dunia. Sebanyak 1035 kertas kerja memohon tetapi hanya 290 sahaja yang diterima untuk membuat pembentangan.

Menurut Dr. Ismail, anugerah tersebut membuktikan bahawa Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai model yang sesuai digunakan oleh guru-guru untuk merancang pengajaran abad ke-21.

“Saya harap model ASIE yang diiktiraf di peringkat global mendapat perhatian pihak yang berkaitan dan seterusnya diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” kata Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia ini yang amat berbangga dengan pencapaian tersebut dan akan terus mengetengahkan Model ASIE di dalam dan di luar negara.

ASIE adalah akronim bagi komponen A – Analyse (Analisis), S – Strategise (menyusun strategi), I – Implement (melaksana) dan E – Evaluate (menilai).

Dr. Ismail membangunkan mo­del ASIE ini dengan akademia Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Balakrishnan Muniandy dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan model ASIE ini, Dr. Ismail menegaskan, transformasi pendidikan bukan hanya berlaku dalam kertas perancangan tetapi harus dijelmakan dalam tindakan justeru pendidik perlu berani membuat perubahan dalam mereka bentuk pengajaran sebagai langkah memantapkan pengajaran di dalam bilik darjah.

“Hal ini kerana Pembelajaran abad ke-21 perlu mencakupi semua aspek dalam pendidikan termasuk aspek mereka bentuk pengajaran yang hampir dilupakan dalam senario pendidikan di Malaysia.

“Malah, kajian literatur turut memperlihatkan keperluan model reka bentuk pengajaran abad ke-21 dan ASIE dapat memenuhi keperluan itu,” jelas Dr. Ismail.

Sementara itu, peserta bengkel di Persidangan Pendidikan Antarabangsa di Hotel Kensington Close, London teruja dengan kemantapan Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE yang dibentangkan oleh Dr. Ismail.

Pensyarah dari Reinhardt University, Amerika Syarikat, Profesor Dr. Laurie Manning berpendapat, Model ASIE bukan sahaja membantu guru merancang pengajaran tetapi juga dapat membantu guru dalam proses penilaian.

Pendapat ini disokong Eunice Li, penyelidik dari China yang bertugas di UK: “Model yang mampu membantu golongan pendidik dalam proses merangka dan berkongsi perancangan pengajaran.”

Bagi guru sebuah sekolah rendah di Australia, Michael Paloff, Model ASIE amat menarik dan me­rupakan kaedah yang sesuai untuk dilaksana­kan dalam pengajarannya.

Seorang lagi peserta, Profesor Dr. Mabokang Monnapula dari Central University of Technology, Afrika Selatan memberitahu, masih terlalu awal untuk melihat keberkesanan model ini.

“Apapun Tahniah Dr. Ismail yang berani memperkenalkan satu mo­del reka bentuk pengajaran bercirikan pembelajaran abad ke-21 yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh golongan pendidik dan saya anggap Model ASIE ini adalah yang terbaik,” katanya.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Dr. Mohd Zaki Ishak berkata, sesuatu yang menarik jika boleh diwujudkan satu platform untuk menjalinkan isi kandungan pembelajaran dengan Model ASIE dalam proses PdP.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: