Memudah, mengurang beban perancangan guru

MODEL ASIE merupakan satu bentuk transformasi pendidikan untuk memudahkan dan mengurangkan bebanan perancangan guru di samping menggalakkan kreativiti serta inovasi dalam proses pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) ke arah pemantapan profesionalisme guru pada abad ke-21.

M. Balakrishnan

Bagimanapun, pencipta bersama Model ASIE, Prof. Dr. M. Ba­lakrishnan menegaskan, guru tidak seharusnya melihat Model ASIE se­bagai satu templat yang boleh disalin dan ditampal (copy & paste) maklumat untuk merancang pe­ngajaran.

“Sebaliknya guru harus memahami konsep mereka bentuk pengajaran (instructional design) secara mendalam dan Model ASIE adalah pendekatan integratif dalam menyusun strategi PdP mengikut ke­perluan pelajar abad ke-21,” jelasnya.

Komponen dalam model ASIE memerlukan guru membuat refleksi bagaimana menyusun strategi agar pemilihan media, profil pengajaran dan profil perbezaan pelajar dapat disesuaikan dengan pemilihan alat berfikir.

Elemen pembelajaran abad ke-21 pula diintegrasikan dalam Lembaran Integrasi Pelbagai (Multiple Integration Worksheet, MIW) – satu mekanisme paparan pembentuk aktiviti pembe­lajaran dan penilaian berteraskan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

KBAT merupakan elemen yang penting untuk diintegrasikan dalam PdP supaya mencapai ke­perluan pelajar yang bercirikan 4C iaitu critical thinker, communication, collaboration, creation.

MIW pula membantu guru atau pentadbir memantau bukan bertujuan untuk mencari kesilapan tetapi mengenal pasti dan membuat penambahbaikan terhadap kelemahan atau kekurangan guru dalam bidang tertentu.

Guru di seluruh negara berpeluang berkongsi maklumat perancangan pengajaran masing-masing yang diintegrasikan melalui MIW secara atas talian.

Kaedah ini mampu memperkayakan pengetahuan guru dalam bidang pedagogi terutama kepada guru-guru yang baharu dan juga kepada guru-guru pelatih yang berada di institusi pengajian tinggi di seluruh dunia.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: