Memudah, mengurang beban perancangan guru

MODEL ASIE merupakan satu bentuk transformasi pendidikan untuk memudahkan dan mengurangkan bebanan perancangan guru di samping menggalakkan kreativiti serta inovasi dalam proses pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) ke arah pemantapan profesionalisme guru pada abad ke-21.

M. Balakrishnan

Bagimanapun, pencipta bersama Model ASIE, Prof. Dr. M. Ba­lakrishnan menegaskan, guru tidak seharusnya melihat Model ASIE se­bagai satu templat yang boleh disalin dan ditampal (copy & paste) maklumat untuk merancang pe­ngajaran.

“Sebaliknya guru harus memahami konsep mereka bentuk pengajaran (instructional design) secara mendalam dan Model ASIE adalah pendekatan integratif dalam menyusun strategi PdP mengikut ke­perluan pelajar abad ke-21,” jelasnya.

Komponen dalam model ASIE memerlukan guru membuat refleksi bagaimana menyusun strategi agar pemilihan media, profil pengajaran dan profil perbezaan pelajar dapat disesuaikan dengan pemilihan alat berfikir.

Elemen pembelajaran abad ke-21 pula diintegrasikan dalam Lembaran Integrasi Pelbagai (Multiple Integration Worksheet, MIW) – satu mekanisme paparan pembentuk aktiviti pembe­lajaran dan penilaian berteraskan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

KBAT merupakan elemen yang penting untuk diintegrasikan dalam PdP supaya mencapai ke­perluan pelajar yang bercirikan 4C iaitu critical thinker, communication, collaboration, creation.

MIW pula membantu guru atau pentadbir memantau bukan bertujuan untuk mencari kesilapan tetapi mengenal pasti dan membuat penambahbaikan terhadap kelemahan atau kekurangan guru dalam bidang tertentu.

Guru di seluruh negara berpeluang berkongsi maklumat perancangan pengajaran masing-masing yang diintegrasikan melalui MIW secara atas talian.

Kaedah ini mampu memperkayakan pengetahuan guru dalam bidang pedagogi terutama kepada guru-guru yang baharu dan juga kepada guru-guru pelatih yang berada di institusi pengajian tinggi di seluruh dunia.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Advertisements

Pendidik yakin Model ASIE tingkat kesan pengajaran

PENDEDAHAN konsep Model ASIE kepada Pensyarah-pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPG) Ilmu Khas, Kuala Lumpur dan Pengetua-penge­tua Sekolah Daerah Kinta, Perak menerima maklum balas yang positif.

Roziah Abdullah

Timbalan Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Roziah Abdullah menyifatkan Model ASIE sebagai satu model reka bentuk pengajaran yang mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran guru bersesu­aian dengan pem­belajaran abad ke-21.

Bagi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarcisian Convent, Ipoh, Noraini Saad, Model ASIE sangat baik yang perlu disebar luas kepada semua warga pendidik.

“Hal ini dapat membantu me­realisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan ke arah transformasi pendidikan yang lebih dinamik,” katanya.

Pendapat ini disokong oleh Pengetua SMK Tasek Damai, Ipoh, Normarina Mustappa dan Pengetua SMK Rapat Setia, atin Siti Zabidah Setia.

Kata Normarina, Model ASIE komprehensif, bersifat bersepadu, menepati kehendak PPPM dan memenuhi ciri-ciri PdP manakala Siti Zabidah pula berpendirian bahawa penggunaan Model ASIE merupakan pende­katan yang sangat baik bagi melahirkan modal insan yang meme­nuhi ke­perluan abad ke-21.

Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent, Liew Swee Fong berkata, Model ASIE dapat mencungkil kreativiti pelajar dan membawa mereka ke arah yang lebih inovatif.

“Tahniah Dr Ismail kerana menghasilkan model yang amat relevan dalam proses mereka bentuk pengajaran masa kini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Anderson, Zahidi Abd Ghani memberitahu, Model ASIE merupakan model yang interaktif untuk me­rangka proses PdP dengan memasukkan kesemua aspek pem­belajaran abad Ke-21.

Guru Bahasa Inggeris, K. Ja­yathi berharap Model ASIE didedahkan kepada semua guru sebagai panduan mengintegrasikan pelbagai elemen penting dalam pengajaran.

“Model ASIE boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia sejajar dengan perkembangan pengajaran abad ke-21,” katanya yakin.

Dalam pada itu, Guru Penolong kanan SMK Jalan Tasek, Ipoh, Mansor Mohd Amin ber­kata, Model ASIE mampu menjana strategi PdP pada abad Ke-21.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Model reka bentuk pengajaran ASIE bertaraf dunia

Dr. Ismail Zain (kanan) memberi penjelasan tentang Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE kepada peserta bengkel Persidangan Pendidikan Antarabangsa London di Hotel Kensington Close, United Kingdom, baru-baru ini.

 

Sekali lagi, Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE yang dihasilkan oleh Mantan Pensyarah Cemerlang Gred Khas B Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh, Perak, Dr. Ismail Zain meraih anugerah di pe­ringkat antarabangsa.

Kali ini, model ASIE memenangi Anugerah Persembahan Terbaik di Persidangan Pendidikan Antarabangsa London di United Kingdom (UK) setelah meraih anuge­rah yang sama di Persidang­an Pendidikan Antarabangsa di Beijing, China pada Mac lalu.

Persidangan di London selama tiga hari itu disertai 333 peserta dari 52 negara serata dunia. Sebanyak 1035 kertas kerja memohon tetapi hanya 290 sahaja yang diterima untuk membuat pembentangan.

Menurut Dr. Ismail, anugerah tersebut membuktikan bahawa Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai model yang sesuai digunakan oleh guru-guru untuk merancang pengajaran abad ke-21.

“Saya harap model ASIE yang diiktiraf di peringkat global mendapat perhatian pihak yang berkaitan dan seterusnya diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” kata Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia ini yang amat berbangga dengan pencapaian tersebut dan akan terus mengetengahkan Model ASIE di dalam dan di luar negara.

ASIE adalah akronim bagi komponen A – Analyse (Analisis), S – Strategise (menyusun strategi), I – Implement (melaksana) dan E – Evaluate (menilai).

Dr. Ismail membangunkan mo­del ASIE ini dengan akademia Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Balakrishnan Muniandy dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan model ASIE ini, Dr. Ismail menegaskan, transformasi pendidikan bukan hanya berlaku dalam kertas perancangan tetapi harus dijelmakan dalam tindakan justeru pendidik perlu berani membuat perubahan dalam mereka bentuk pengajaran sebagai langkah memantapkan pengajaran di dalam bilik darjah.

“Hal ini kerana Pembelajaran abad ke-21 perlu mencakupi semua aspek dalam pendidikan termasuk aspek mereka bentuk pengajaran yang hampir dilupakan dalam senario pendidikan di Malaysia.

“Malah, kajian literatur turut memperlihatkan keperluan model reka bentuk pengajaran abad ke-21 dan ASIE dapat memenuhi keperluan itu,” jelas Dr. Ismail.

Sementara itu, peserta bengkel di Persidangan Pendidikan Antarabangsa di Hotel Kensington Close, London teruja dengan kemantapan Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE yang dibentangkan oleh Dr. Ismail.

Pensyarah dari Reinhardt University, Amerika Syarikat, Profesor Dr. Laurie Manning berpendapat, Model ASIE bukan sahaja membantu guru merancang pengajaran tetapi juga dapat membantu guru dalam proses penilaian.

Pendapat ini disokong Eunice Li, penyelidik dari China yang bertugas di UK: “Model yang mampu membantu golongan pendidik dalam proses merangka dan berkongsi perancangan pengajaran.”

Bagi guru sebuah sekolah rendah di Australia, Michael Paloff, Model ASIE amat menarik dan me­rupakan kaedah yang sesuai untuk dilaksana­kan dalam pengajarannya.

Seorang lagi peserta, Profesor Dr. Mabokang Monnapula dari Central University of Technology, Afrika Selatan memberitahu, masih terlalu awal untuk melihat keberkesanan model ini.

“Apapun Tahniah Dr. Ismail yang berani memperkenalkan satu mo­del reka bentuk pengajaran bercirikan pembelajaran abad ke-21 yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh golongan pendidik dan saya anggap Model ASIE ini adalah yang terbaik,” katanya.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Dr. Mohd Zaki Ishak berkata, sesuatu yang menarik jika boleh diwujudkan satu platform untuk menjalinkan isi kandungan pembelajaran dengan Model ASIE dalam proses PdP.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Penuhi keperluan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain membuat pembentangan berkaitan Model ASIE yang meraih Anugerah Persembahan Terbaik dalam Persidangan Pendidikan Antarabangsa London, baru-baru ini.

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam prakata buku Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menyatakan bahawa transformasi pendidikan bukan sekadar menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, malah perlu menjurus kepada usaha untuk memahami dan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Berdasarkan aspirasi PPPM 2013-2025 ini jelas bahawa pengajaran guru bermula dengan proses merancang pengajaran.

Oleh itu, Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE buat pertama kalinya dirangka untuk dijelmakan dalam proses me­rancang pengajaran guru yang menjadi tonggak kepada keberkesanan memahami dan menambah baik proses PdP guru.

ASIE adalah akronim bagi komponen A – Analyse (Analisis), S – Strategise (menyusun strategi), I – Implement (melaksana) dan E – Evaluate (menilai). Kesemua komponen bertindak sebagai prosedur merancang pengajaran (instructional planning) di peringkat makro untuk diaplikasikan di peringkat mikro iaitu pembentukan beberapa rancangan pelajaran harian (RPH).

Ia juga merupakan prosedur guru merancang pengajaran mengikut keperluan pelajar.

Model ini merupakan transformasi dalam amalan profesion perguruan dengan lebih memberi penekanan terhadap strategi pembelajaran (pemusatan murid) daripada semata-mata strategi penyampaian pengajaran.

Pendekatan baru ini hasil daripada penyelidikan yang memberi peluang kepada guru dan pelajar secara kolaboratif melibatkan diri dalam meneroka potensi dan mengaplikasikan stategi yang dicadangkan, menambah baik ilmu dan kemahiran ke arah pencapaian keperluan pembelajaran abad ke-21 untuk mewujudkan “persekitaran pembelajaran yang aktif & inovatif” yang berkaitan rapat dengan isu kebolehpasaran graduan.

Pelaksanaannya berlandaskan konsep PLUS – Planning, Utilizing, Sharing (merancang, mengguna, berkongsi) maklumat perancangan guru.

Model ini bersifat interaktif, integratif, preskriptif, dan konstruktif serta memberi ruang yang fleksible kepada guru untuk memasukkan elemen-elemen tambahan ke dalam model ini.

Model ini memaparkan Lembaran Kerja Integrasi Pelbagai (Multiple Integration Worksheet, MIW) sebagai mekanisme pemusatan strategi perancangan yang membentuk amalan terbaik untuk pelajar ke arah pengintegrasian pelbagai elemen dalam PdP.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA