YPM perkenal skim bantuan sekolah agama, tahfiz

ADBUL KARIM MUSTAFA (berdiri tengah, kiri) dan Shahiruddin Ab. Moin (berdiri tengah, kanan) bersama murid yang menerima bantuan persekolahan YPM di SK Ulu Dong, Raub, Pahang, semalam.

RAUB 7 Sept. – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan memperkenalkan skim baharu bagi menyalurkan bantuan kepada pelajar sekolah aliran agama dan sekolah tahfiz pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, Skim Bantuan Tahfiz yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu bakal menjadi wadah penting dalam usaha melahirkan cendekiawan Islam kelas pertama.

”Cadangan ini sudah diluluskan Lembaga YPM dan kita sedang memperincikan perkara ini termasuk dari segi peranan kerana tidak mahu berlaku pertindihan bantuan dengan agensi lain seperti majlis agama Islam negeri.

”Mungkin kita boleh membantu dari segi yuran, melanjutkan pelajaran ke universiti dan dalam bentuk prasarana pendidikan yang dimuktamadkan nanti,” katanya pada majlis sumbangan skim bantuan persekolahan kepada murid miskin di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Dong, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin.

Seramai 200 murid SK Ulu Dong dan SK Pamah Kulat menerima bantuan persekolahan berupa wang tunai dalam majlis berkenaan.

Menurut Abdul Karim, pihaknya sedang mendapatkan dana secukupnya bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program itu nanti.

Beliau memberitahu, pada masa ini pihaknya sedang mengenal pasti semua sekolah agama dan sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara yang akan terlibat dalam skim tersebut.

”Ini merupakan sebahagian daripada permintaan masyarakat dan juga dasar Mara itu sendiri yang mana agensi ini mempunyai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab yang melahirkan kira-kira 700 hafiz.

”Mara mahu melahirkan hafiz dan cendekiawan Islam profesional yang tidak semata-mata menghafaz al-Quran tetapi mampu menjadi jurutera, ahli sains dan pemimpin celik al-Quran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, yayasan itu akan membelanjakan kira-kira RM4.6 juta bagi menyalurkan sumbangan skim bantuan persekolahan kepada kira-kira 38,415 murid di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: