UPSR: Elak insiden tahun lalu berulang

Mahdzir Khalid

ALOR SETAR 7 Sept. – Kementerian Pendidikan membuat persiapan rapi bagi memastikan tiada insiden tidak ingini seperti kebocoran soalan berlaku sepanjang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diadakan tiga hari bermula 8 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya bersama Lembaga Peperiksaan mengambil langkah keselamatan yang diperlukan untuk memastikan peperiksaan berkenaan berjalan lancar.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab, kita berharap mendapat kerjasama baik daripada semua pihak. Untuk peperiksaan esok, saya kira kementerian sudah membuat persiapan rapi untuk memastikan bahawa apa yang berlaku pada masa dahulu (kebocoran soalan) tidak berlaku.

“Tindakan yang se­pa­tutnya diambil, akan diambil oleh semua pihak. Apa yang saya harapkan ibu bapa pastikan anak berada pada waktu sepatutnya ketika ambil peperiksaan kelak dan berharap akhirnya anak mereka dapat keputusan yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Pendidikan Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamed Yusof.

Pada tahun ini dianggarkan seramai 455,929 calon menduduki peperikaan UPSR dan daripada jumlah itu 446,511 calon terdiri daripada calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sementara bakinya, 9,418 pula merupakan calon sekolah swasta.

Sebanyak 8,134 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 49,655 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir menafikan laporan sebuah blog yang mendakwa pihak Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang lewat memaklumkan kepada pihak polis berhubung kehilangan tujuh anak murid Orang Asli sekolah berkenaan sejak 23 Ogos lepas.

“Sebenarnya pihak sekolah tidak lambat buat laporan seperti dakwaan blog berkenaan. Saya dimaklumkan mereka membuat keputusan untuk mencari dahulu pelajar berkenaan di dalam hutan itu selepas tidak jumpa baru buat laporan polis.

“Untuk bertolak dari sekolah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang mengambil masa lebih dua jam perjalanan dengan pikap kerana jalan tidak bertar dan merupakan laluan lori balak.

“Mereka tiba kira-kira pukul 12 tengah malam pada hari sama pelajar dilaporkan hilang dan laporan kemudian siap ditulis pada pukul 2 pagi keesokan harinya. Itu yang didakwa lewat sehari tetapi sebenarnya masa yang sama sahaja,” katanya.

Ketujuh-tujuh murid Orang Asli itu dikatakan melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: