Pelajar 11 tahun peserta termuda APCYS 2015

SYED KAMIL AL IDRUS SYED ZAHER (dua dari kiri) menerangkan sesuatu kepada Asisten Ketua Staf Logistik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar (kanan) ketika melawat tapak pameran sempena Persidangan Saintis Muda Asia Pasifik 2015 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Sokongan rakan-rakan dan inisiatif sendiri untuk mempelajari bidang sains melalui media sosial termasuk Youtube berjaya membuktikan usaha dan minat mengatasi segalanya untuk berjaya.

Demikian yang dilakukan seorang pelajar dari India, Dhiruv Maheshwari, 11, yang muncul sebagai peserta termuda Persidangan Saintis Muda Asia Pasifik 2015 (APCYS) kali ke-4 yang bermula pada semalam sehingga 11 September ini.

Dhiruv berkata, beliau yang mempunyai minat mendalam dalam bidang sains dan teknologi berjaya mencipta hologram menggunakan aplikasi khusus dengan dibantu guru dan rakan-rakan.

“Setiap orang yang ingin memasuki pertandingan ini perlu bersaing dan menjadi yang terbaik kerana guru kami akan pilih pelajar terbaik untuk bertanding dalam kategori antarabangsa di negara kami sebelum dibenarkan untuk menyertai pertandingan di sini.

“Apa yang penting adalah tidak berputus asa dengan setiap benda yang kita lakukan ia perlulah di buat dengan penuh minat. Saya percaya kami mampu menang dalam salah satu kategori yang dipertandingkan kerana kami kerja secara berpasukan dan tahu secara mendalam setiap material yang digunakan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta dari Guam, Bella Moon, 17, berkata, ini merupakan pertama kali dia menjejakkan kaki ke negara ini dan berasa sedikit janggal ketika hari pertama berada di sini.

“Walau bagaimanapun, saya cepat menyesuaikan diri terutama selepas berkenalan dengan rakan-rakan terutama dari Malaysia yang begitu mesra. Ia merupakan pengalaman menarik kerana turut diberi pendedahan mengenai budaya di sini.

“Selain itu, saya boleh tunjukkan hasil ciptaan kami iaitu sabun pencuci tangan yang lebih bersifat organik serta tidak menggunakan bahan yang terlalu banyak alkohol kepada rakan-rakan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Kamil Al Idrus Syed Zaher, 16, berkata, program seumpama ini tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek sains semata-mata tetapi mempunyai skop yang lebih luas sebagai pendedahan kepada pelajar.

“Kita tahu mereka mempunyai daya pemikiran dan cara hidup yang agak berbeza daripada kita.

“Inilah peluang terbaik bagi saya untuk mencari kawan yang lebih ramai dari pelbagai negara. Mungkin ada sesuatu yang menarik boleh dikongsi bersama terutama mengenai negara mereka,” ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: