13 juta kanak-kanak tiada pendidikan

Gambar fail bertarikh 19 Julai lalu merakamkan pelarian kanak-kanak Syria bermain sesama mereka di kem pelarian di sempadan Syria-Jordan berhampiran bandar Mafraq, Jordan.

 

AMMAN 3 Sept. – Lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan sempurna ekoran konflik berterusan di rantau Asia Barat, sekali gus boleh menyebabkan masa depan generasi itu lenyap, jika golongan itu tidak kembali ke alam persekolahan.

Menurut laporan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kesan peperangan di enam negara di rantau tersebut menyebabkan lebih 8,500 buah sekolah tidak lagi beroperasi ekoran faktor keselamatan dan keganasan.

Pengarah UNICEF untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Peter Salama yang memetik laporan itu menjelaskan bahawa situasi meruncing berkenaan berlaku ekoran risiko yang dihadapi pelajar dan guru terkena tembakan dan sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan penduduk daripada serangan bom.

“Konflik di rantau Asia Barat yang berterusan menyebabkan lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan, sekali gus meletakkan masa depan generasi muda ini dalam bahaya,” jelas UNICEF.

Menurutnya, kanak-kanak sekolah juga berdepan risiko ditembak ketika melintas zon peperangan semasa mahu mengambil peperiksaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.

“Bukan sahaja kerosakan fizikal berlaku terhadap sekolah akibat perang, tetapi kekecewaan turut dirasai oleh generasi muda yang melihat harapan dan masa depan mereka musnah,” katanya.

Tahun lalu sahaja, UNICEF merekodkan sebanyak 214 serangan dilancarkan ke atas sekolah-sekolah di Syria, Iraq, Libya, Palestin, Sudan dan Yemen.

Di Syria, UNICEF melaporkan, sektor pendidikan terjejas teruk disebabkan peperangan antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang sejak lebih empat tahun lalu.

Secara puratanya, satu daripada empat buah sekolah ditutup sejak konflik tercetus pada Mac 2011, mengakibatkan lebih dua juta kanak-kanak terpaksa berhenti belajar dan hampir setengah juga lagi berdepan risiko kehilangan pendidikan.

“Satu daripada serangan paling buruk berlaku di sebuah sekolah di Yemen apabila 13 guru dan empat kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan di sebuah pejabat guru di bandar Amran.

“Pembunuhan, penculikan dan penahanan guru, pelajar dan kakitangan sekolah berlaku secara berleluasa di rantau ini,” tambah laporan terbabit.

Di Gaza, serangan tentera Israel selama 50 hari ke Gaza pada tahun lalu, menyaksikan 281 buah sekolah di wilayah Palestin itu rosak dan lapan buah lagi musnah sepenuhnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: