13 juta kanak-kanak tiada pendidikan

Gambar fail bertarikh 19 Julai lalu merakamkan pelarian kanak-kanak Syria bermain sesama mereka di kem pelarian di sempadan Syria-Jordan berhampiran bandar Mafraq, Jordan.

 

AMMAN 3 Sept. – Lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan sempurna ekoran konflik berterusan di rantau Asia Barat, sekali gus boleh menyebabkan masa depan generasi itu lenyap, jika golongan itu tidak kembali ke alam persekolahan.

Menurut laporan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kesan peperangan di enam negara di rantau tersebut menyebabkan lebih 8,500 buah sekolah tidak lagi beroperasi ekoran faktor keselamatan dan keganasan.

Pengarah UNICEF untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Peter Salama yang memetik laporan itu menjelaskan bahawa situasi meruncing berkenaan berlaku ekoran risiko yang dihadapi pelajar dan guru terkena tembakan dan sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan penduduk daripada serangan bom.

“Konflik di rantau Asia Barat yang berterusan menyebabkan lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan, sekali gus meletakkan masa depan generasi muda ini dalam bahaya,” jelas UNICEF.

Menurutnya, kanak-kanak sekolah juga berdepan risiko ditembak ketika melintas zon peperangan semasa mahu mengambil peperiksaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.

“Bukan sahaja kerosakan fizikal berlaku terhadap sekolah akibat perang, tetapi kekecewaan turut dirasai oleh generasi muda yang melihat harapan dan masa depan mereka musnah,” katanya.

Tahun lalu sahaja, UNICEF merekodkan sebanyak 214 serangan dilancarkan ke atas sekolah-sekolah di Syria, Iraq, Libya, Palestin, Sudan dan Yemen.

Di Syria, UNICEF melaporkan, sektor pendidikan terjejas teruk disebabkan peperangan antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang sejak lebih empat tahun lalu.

Secara puratanya, satu daripada empat buah sekolah ditutup sejak konflik tercetus pada Mac 2011, mengakibatkan lebih dua juta kanak-kanak terpaksa berhenti belajar dan hampir setengah juga lagi berdepan risiko kehilangan pendidikan.

“Satu daripada serangan paling buruk berlaku di sebuah sekolah di Yemen apabila 13 guru dan empat kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan di sebuah pejabat guru di bandar Amran.

“Pembunuhan, penculikan dan penahanan guru, pelajar dan kakitangan sekolah berlaku secara berleluasa di rantau ini,” tambah laporan terbabit.

Di Gaza, serangan tentera Israel selama 50 hari ke Gaza pada tahun lalu, menyaksikan 281 buah sekolah di wilayah Palestin itu rosak dan lapan buah lagi musnah sepenuhnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Advertisements

YPM perkenal skim bantuan sekolah agama, tahfiz

ADBUL KARIM MUSTAFA (berdiri tengah, kiri) dan Shahiruddin Ab. Moin (berdiri tengah, kanan) bersama murid yang menerima bantuan persekolahan YPM di SK Ulu Dong, Raub, Pahang, semalam.

RAUB 7 Sept. – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan memperkenalkan skim baharu bagi menyalurkan bantuan kepada pelajar sekolah aliran agama dan sekolah tahfiz pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, Skim Bantuan Tahfiz yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu bakal menjadi wadah penting dalam usaha melahirkan cendekiawan Islam kelas pertama.

”Cadangan ini sudah diluluskan Lembaga YPM dan kita sedang memperincikan perkara ini termasuk dari segi peranan kerana tidak mahu berlaku pertindihan bantuan dengan agensi lain seperti majlis agama Islam negeri.

”Mungkin kita boleh membantu dari segi yuran, melanjutkan pelajaran ke universiti dan dalam bentuk prasarana pendidikan yang dimuktamadkan nanti,” katanya pada majlis sumbangan skim bantuan persekolahan kepada murid miskin di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Dong, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin.

Seramai 200 murid SK Ulu Dong dan SK Pamah Kulat menerima bantuan persekolahan berupa wang tunai dalam majlis berkenaan.

Menurut Abdul Karim, pihaknya sedang mendapatkan dana secukupnya bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program itu nanti.

Beliau memberitahu, pada masa ini pihaknya sedang mengenal pasti semua sekolah agama dan sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara yang akan terlibat dalam skim tersebut.

”Ini merupakan sebahagian daripada permintaan masyarakat dan juga dasar Mara itu sendiri yang mana agensi ini mempunyai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab yang melahirkan kira-kira 700 hafiz.

”Mara mahu melahirkan hafiz dan cendekiawan Islam profesional yang tidak semata-mata menghafaz al-Quran tetapi mampu menjadi jurutera, ahli sains dan pemimpin celik al-Quran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, yayasan itu akan membelanjakan kira-kira RM4.6 juta bagi menyalurkan sumbangan skim bantuan persekolahan kepada kira-kira 38,415 murid di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Pelajar 11 tahun peserta termuda APCYS 2015

SYED KAMIL AL IDRUS SYED ZAHER (dua dari kiri) menerangkan sesuatu kepada Asisten Ketua Staf Logistik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar (kanan) ketika melawat tapak pameran sempena Persidangan Saintis Muda Asia Pasifik 2015 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Sokongan rakan-rakan dan inisiatif sendiri untuk mempelajari bidang sains melalui media sosial termasuk Youtube berjaya membuktikan usaha dan minat mengatasi segalanya untuk berjaya.

Demikian yang dilakukan seorang pelajar dari India, Dhiruv Maheshwari, 11, yang muncul sebagai peserta termuda Persidangan Saintis Muda Asia Pasifik 2015 (APCYS) kali ke-4 yang bermula pada semalam sehingga 11 September ini.

Dhiruv berkata, beliau yang mempunyai minat mendalam dalam bidang sains dan teknologi berjaya mencipta hologram menggunakan aplikasi khusus dengan dibantu guru dan rakan-rakan.

“Setiap orang yang ingin memasuki pertandingan ini perlu bersaing dan menjadi yang terbaik kerana guru kami akan pilih pelajar terbaik untuk bertanding dalam kategori antarabangsa di negara kami sebelum dibenarkan untuk menyertai pertandingan di sini.

“Apa yang penting adalah tidak berputus asa dengan setiap benda yang kita lakukan ia perlulah di buat dengan penuh minat. Saya percaya kami mampu menang dalam salah satu kategori yang dipertandingkan kerana kami kerja secara berpasukan dan tahu secara mendalam setiap material yang digunakan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta dari Guam, Bella Moon, 17, berkata, ini merupakan pertama kali dia menjejakkan kaki ke negara ini dan berasa sedikit janggal ketika hari pertama berada di sini.

“Walau bagaimanapun, saya cepat menyesuaikan diri terutama selepas berkenalan dengan rakan-rakan terutama dari Malaysia yang begitu mesra. Ia merupakan pengalaman menarik kerana turut diberi pendedahan mengenai budaya di sini.

“Selain itu, saya boleh tunjukkan hasil ciptaan kami iaitu sabun pencuci tangan yang lebih bersifat organik serta tidak menggunakan bahan yang terlalu banyak alkohol kepada rakan-rakan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Kamil Al Idrus Syed Zaher, 16, berkata, program seumpama ini tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek sains semata-mata tetapi mempunyai skop yang lebih luas sebagai pendedahan kepada pelajar.

“Kita tahu mereka mempunyai daya pemikiran dan cara hidup yang agak berbeza daripada kita.

“Inilah peluang terbaik bagi saya untuk mencari kawan yang lebih ramai dari pelbagai negara. Mungkin ada sesuatu yang menarik boleh dikongsi bersama terutama mengenai negara mereka,” ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

UPSR: Elak insiden tahun lalu berulang

Mahdzir Khalid

ALOR SETAR 7 Sept. – Kementerian Pendidikan membuat persiapan rapi bagi memastikan tiada insiden tidak ingini seperti kebocoran soalan berlaku sepanjang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diadakan tiga hari bermula 8 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya bersama Lembaga Peperiksaan mengambil langkah keselamatan yang diperlukan untuk memastikan peperiksaan berkenaan berjalan lancar.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab, kita berharap mendapat kerjasama baik daripada semua pihak. Untuk peperiksaan esok, saya kira kementerian sudah membuat persiapan rapi untuk memastikan bahawa apa yang berlaku pada masa dahulu (kebocoran soalan) tidak berlaku.

“Tindakan yang se­pa­tutnya diambil, akan diambil oleh semua pihak. Apa yang saya harapkan ibu bapa pastikan anak berada pada waktu sepatutnya ketika ambil peperiksaan kelak dan berharap akhirnya anak mereka dapat keputusan yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Pendidikan Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamed Yusof.

Pada tahun ini dianggarkan seramai 455,929 calon menduduki peperikaan UPSR dan daripada jumlah itu 446,511 calon terdiri daripada calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sementara bakinya, 9,418 pula merupakan calon sekolah swasta.

Sebanyak 8,134 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 49,655 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir menafikan laporan sebuah blog yang mendakwa pihak Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang lewat memaklumkan kepada pihak polis berhubung kehilangan tujuh anak murid Orang Asli sekolah berkenaan sejak 23 Ogos lepas.

“Sebenarnya pihak sekolah tidak lambat buat laporan seperti dakwaan blog berkenaan. Saya dimaklumkan mereka membuat keputusan untuk mencari dahulu pelajar berkenaan di dalam hutan itu selepas tidak jumpa baru buat laporan polis.

“Untuk bertolak dari sekolah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang mengambil masa lebih dua jam perjalanan dengan pikap kerana jalan tidak bertar dan merupakan laluan lori balak.

“Mereka tiba kira-kira pukul 12 tengah malam pada hari sama pelajar dilaporkan hilang dan laporan kemudian siap ditulis pada pukul 2 pagi keesokan harinya. Itu yang didakwa lewat sehari tetapi sebenarnya masa yang sama sahaja,” katanya.

Ketujuh-tujuh murid Orang Asli itu dikatakan melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Persediaan ke arah pendidikan global

KUALA LUMPUR 6 SEPT. – WALAUPUN lebih dikenali sebagai ‘sekolah sukan’, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jalil bukanlah calang-calang juga dalam bidang akademik.

  Sekolah yang mempunyai 203 murid Tahun Enam itu sentiasa komited dalam memperbaiki pencapaian akademik muridnya terutama melalui pelbagai pendekatan bukan tradisional.
Di bawah kepimpinan Guru Besar, Jamilah Iberahim, sekolah itu terus melakar sejarah dalam bidang akademik apabila 31 murid­nya memperoleh keputusan lima A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.
Kekuatan sekolah itu kata Jamilah, terletak pada sinergi iaitu kerjasama antara murid, guru dan ibu bapa, yang bertungkus-lumus menjayakan program-program yang dianjurkan.
Antara program yang digerakkan, kata beliau, adalah kem-kem fokus akademik seperti Kem Motivasi Menggapai Bintang, Perkampungan UPSR, dialog bersama ibu bapa dan program Juara.
Dalam membentuk pelajar yang holistik iaitu cemerlang dalam semua aspek iaitu akademik, sahsiah dan riadah seperti digariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), menurutnya, pihak sekolah juga giat mempertingkatkan pencapaian murid-murid lemahnya melalui program pembelajaran intensif.
“Pembelajaran juga tidak ter­had pada waktu persekolahan semata-mata. Melalui kepesatan tek­nologi ketika ini, guru-guru terus berhubung dengan pelajar melalui media sosial.
“Langkah ini penting bagi memastikan mereka sentiasa mendapat penjelasan sekiranya ada kemusykilan dalam pelajaran pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pihak sekolah juga ujar beliau, memberi tumpuan kepada pendekatan-pendekatan bersifat hands on dalam mempertingkatkan potensi murid.
“Kami juga pernah menganjurkan Program Guru Muda yang memberi peluang kepada murid-murid belajar sesama mereka. Apa yang penting, murid-murid di­dedahkan dengan pendekatan yang dapat membantu mereka cemerlang dalam kehidupan kelak,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA