Sekolah Sultan Alam Shah wakili Malaysia F1 in Schools peringkat dunia

Pasukan Nova F1 Racing SAS yang akan mewakili negara ke pertandingan Cabaran F1 in Schools World Finals di Singapura dari 13 hingga 16 September ini. Dari kiri, Muhammad Syakir Azman, Firdaus Luqman Asyraf, Muhammad Izzuddin Mohd. Yazid (ketua pasukan), Asyraf Mierza Abd. Rahman, Adam Haikal Nazrulhisham dan Muhammad Faris Naim Asmunni.

 

Pasukan Nova F1 Racing Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) telah ter­pi­lih untuk mewakili negara ke Ca­­baran F1 in Schools World Finals yang bakal berlangsung dari 13 hingga 16 September ini di Singapura setelah menjuarainya di peringkat kebangsaan pada November tahun lalu.

Guru Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran SAS, Mohd. Noor Hakim berkata, kejayaan ini merupakan kejutan yang sangat bermakna bagi sekolah berasrama penuh berusia 52 tahun ini.

“Kali terakhir SAS menjuarainya di peringkat kebangsaan dan mewa­kili Malaysia ke peringkat dunia adalah pada tahun 2010 di United Kingdom.

“Sememangnya menjadi hasrat SAS untuk melihat lebih ramai pelajarnya menyertai pertandingan ini pada masa hadapan agar dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah turut cemerlang dalam kokurikulum,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

F1 in Schools World Finals merupakan acara tahunan sejak 2004 dan telah disertai oleh 40 negara melibatkan 20 juta pelajar.

Pertandingan ini merupakan satu-satunya cabaran pelbagai disiplin bertaraf global secara berpasuk­an yang terdiri daripada 3 hingga 6 pelajar berumur 9 hingga 19 tahun.

Bagi pertandingan akhir di pe­ringkat antarabangsa nanti, SAS me­­nyenaraikan Muhammad Syakir Az­man, Firdaus Luqman Asyraf, Asyraf Mierza Abd. Rahman, Adam Haikal Nazrulhisham, Muhammad Faris Na­im Asmunni dan Muhammad Izzuddin Mohd. Yazid sebagai ketua pasukan dan Cikgu Nor Azlina Sapian selaku guru penasihat.

Penghakiman dibuat berdasarkan aspek kejuruteraan, persembahan dan dokumentasi projek serta keputusan perlumbaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: