Perpustakaan mini untuk pelajar bermasalah pembelajaran

AZHAR ABU BAKAR (tengah) merasmikan perpustakaan mini PPKI di SK Bukit Kiara, Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

 

SUNGAI PETANI 6 Sept. – Pelancaran perpustakaan mini yang pertama untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran di negeri ini berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kiara, Sungai Petani di sini, semalam.

Penolong Pegawai Pendidikan daerah Kuala Muda/Yan, Azhar Abu Bakar ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, kewujudan perpustakaan untuk memudahkan pelajar berkenaan mendapatkan pelbagai ilmu tambahan.

“Pihak sekolah perlulah berusaha supaya pelajar kategori ini se­perti sindrom down, autisme, lembam, hiperaktif, cerebral palsy dan sebagainya tidak tersisih daripada mendapat ilmu selaras dengan Akta Pendidikan 1996 dan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 yang diperkenalkan,” katanya.

Di samping itu, katanya, aktiviti lain seperti terapi pasir, terapi air, terapi boling, program membeli-belah, lawatan sambil belajar, perkhemahan, riadah, majlis hari lahir dan anugerah cemerlang juga perlu diadakan selalu.

Sehubungan itu, Azhar me­negaskan, guru-guru terpilih perlulah berani untuk mengajar tentang teknik menarik melalui pengalaman yang ada di diri masing-masing.

Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Bukit Kiara mula dibuka pada 14 Mei 2014 lalu dengan hanya tiga orang murid dan seorang guru.

Bagaimanapun, bilangan murid sekolah itu kini bertambah seramai 25 orang dan tenaga pengajarnya pula adalah seramai empat orang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: