Dua guru Korea ditempatkan di SAS, SSP selama 11 bulan

CHO BYUNGJAE (dua dari kanan) dan Khair Mohamad Yusof (kanan) beramah mesra dengan dua guru bahasa Korea, Myungsuk Kim (kiri) dan Kim Hanna (dua dari kiri) selepas majlis penyerahan Program Sukarelawan Guru Tajaan Kerajaan Korea di Putrajaya, kelmarin.

 

PUTRAJAYA 3 Sept. – Kementerian Pendidikan melaksanakan Program Sukarelawan Guru Tajaan Kerajaan Korea dengan menempatkan dua guru bahasa Korea di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) dan Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya selama 11 bulan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, dua guru tersebut yang merupakan warga Korea akan mengajar bahasa tersebut sebagai mata pelajaran bahasa antarabangsa kepada para pelajar di kedua-dua sekolah itu.

Katanya, program itu merupakan hasil termeterainya memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dengan Korea pada 2011.

“Menerusi MoU itu, Kementerian Pendidikan Korea melalui kedutaannya di negara ini telah menyatakan hasrat untuk menem-patkan guru profesional bahasa Korea dari negara itu sebagai pengajar subjek bahasa antarabangsa di sekolah-sekolah negara ini.

“Bermula hari ini, dua guru bahasa Korea ditempatkan di SAS dan SSP bagi menggalakkan para pelajar mempelajari bahasa antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Program Sukarelawan Guru Tajaan Kerajaan Korea di sini.

Yang hadir sama Duta Korea di Malaysia, Cho Byungjae.

Menurut Khair, usaha memperkenalkan Bahasa Korea sebagai mata pelajaran bahasa antarabangsa di sekolah selaras aspirasi Anjakan Kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dalam mentransformasikan pendidikan negara.

Ujar beliau, selain itu, pemupukan minat mendalam dalam bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar dilihat selari dengan peningkatan pengaruh ekonomi negara itu pada masa kini.

“Sekiranya program ini berjaya, kementerian bersedia memperluaskan mata pelajaran Bahasa Korea di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.

“Dua guru terbabit iaitu Kim Myungsuk serta Kim Hanna akan terlibat dalam merumuskan draf kurikulum mata pelajaran bahasa itu yang bersesuaian dengan sistem pendidikan negara ini,” ujar-nya.

Sementara itu, Myungsuk ketika ditemui memberitahu, peluang diberikan kepadanya untuk mengajar di SAS dan SSP akan digunakan sebaik-baiknya supaya pelajar dapat menguasai bahasa Korea dalam masa yang singkat.

“Saya ada cara untuk mengajar mereka, saya amat berterima kasih kepada kerajaan Korea ke-rana memilih kami berdua untuk mengajar di Malaysia. Saya menerimanya sebagai satu pengalaman berharga selain membantu mempertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa dalam kalangan pelajar,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: