Program Sentuhan Ilmu Petronas beri manfaat calon UPSR, guru

Sebahagian guru mengikuti bengkel KBAT sempena Program Sentuhan Ilmu Petronas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Program Sentuhan Ilmu Pe­tronas (PSIP) yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini, bukan sahaja memberi manfaat kepada 100 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi guru pengiringnya turut men­dapat pendedahan tentang pengintegrasian kema­hiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam proses pengajaran dan pem­belajaran (PdP).

Guru Penolong Ka­nan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Ge­rakhas, Melaka, No­or Azimah Amat berkata, bengkel KBAT kendalian ‘sifu’ terbaik pendidikan abad ke-21, Dr. Ismail Zain memang sangat bagus kerana berjaya membuka minda guru bahawa penerapan elemen KBAT bukan sekadar di dalam bilik darjah tetapi satu konsep yang luas.

“Bengkel oleh Dr. Ismail yang merupakan mentor terbaik bagi intipati KBAT telah menyediakan guru dan juga murid untuk bersaing secara kompetitif di peringkat global,” katanya ketika ditemui selepas program itu.

Tambah beliau, input yang diberikan membolehkan guru memahami KBAT dengan lebih jelas.

Pendapat ini disokong oleh guru SK Sungai Baging, Kuantan, Pahang, Mohd. Zuhairi Jusoh yang berhasrat berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan rakan sejawatnya.

“Penerapan elemen KBAT pen­ting untuk pemantapan PdP dan bengkel ini memberi kami idea untuk menggalakkan murid berfikir dan mene­roka,” katanya.

Sementara itu, guru SK Cherana Puteh, Alor Gajah, Melaka, Razilla Sorbani memberitahu, bengkel KBAT telah membuka minda guru tentang kepentingan KBAT dalam PdP seha­rian.

“Untuk menerapkan elemen KBAT dalam PdP, guru perlu banyak membaca dan mencari ilmu agar dapat dikongsi dengan murid-murid.

“Hal ini penting kera­na penerapan elemen KBAT bukan sekadar terbatas pada buku teks dan silibus sahaja tetapi melangkaui apa yang tersurat,” jelasnya.

Bengkel KBAT ini adalah program bonus untuk guru pengiring PSIP Kem UPSR 2015 yang diadakan di tiga lokasi iaitu di Sabah, Pahang dan Kuala Lumpur.

Dalam PSIP Kem UPSR 2015 ini, pelajar angkat syarikat petroleum u­lung negara, Pe­tro­nas mengikuti modul motivasi dan kecemerlangan akademik yang dibangunkan oleh akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor.

Melalui sentuhan Tutor, PSIP Kem Upsr 2015 kata Noor Azimah, bukan berbentuk teknik menjawab soalan atau pendedahan format pe­pe­­riksaan tetapi cara menjawab yang sepatut­nya.

“Pendekatan yang men­jurus skema pemar­kahan ini membuka minda pelajar untuk menjawab mengikut kehendak soalan,” katanya.

Kem UPSR edisi Kuala Lumpur disertai calon UPSR dari tiga sekolah iaitu SK Cherana Puteh, SK Kem Gerakhas dan SK Sungai Baging.

Seorang murid SK Sungai Ba­ging, Nurul Aina Nadhirah Khairul Anuar berkata, selepas menyertai program itu selama tiga hari, dia bersemangat untuk meningkatkan ulang kaji di rumah dalam usaha melengkapkan persiapan terakhir sebelum menghadapi peperiksaan.

Menurutnya, dia berasa teruja apabila menyertai program ini ter­utama cara menyiapkan mental pada saat akhir sebelum peperiksaan.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang menyertai program ini memandangkan banyak formula mudah dapat dipelajari dan kami juga dapat berkongsi ilmu dengan rakan lain berlainan sekolah,” katanya.

Bagi murid SK Cherana Puteh, Nurin Aina Yusrizal Riadi, PSIP memberi peluang kepadanya untuk melengkapkan persiapan menghadapi UPSR.

“Hanya melalui persediaan awal yang mencukupi termasuk kemudahan program itu, dia dapat menduduki UPSR dengan yakin dan cukup bersedia,” katanya.

Seorang lagi peserta, Aisyah Nadhira Abdul Halim murid SK Kem Gerakhas berkata, PSIP memberi motivasi tinggi kepadanya bagi menghadapi ujian tersebut.

“Keputusan percubaan saya kurang memberangsangkan dan saya perlu belajar dengan lebih tekun serta berhati-hati dalam menjawab soalan supaya tidak cuai,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: