Tangguh BI: Kesatuan guru sambut baik keputusan

KUANTAN 21 Ogos – Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan menangguhkan pelaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan.

Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, tidak dinafikan penguasaan bahasa Inggeris adalah penting, namun syarat wajib lulus subjek tersebut memerlukan kepada persediaan lebih lengkap melibatkan guru, pelajar serta aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Kami menyokong penuh usa­ha kerajaan untuk memperkasa bahasa Inggeris tetapi biarlah guru dan murid diberi lebih masa sebelum dilaksanakan pada tahun depan.

“Faktor ini wajar diambil kira supaya tidak menjadi kejutan dan trauma terutama pelajar di luar bandar yang mana bahasa pertuturan keluarga mereka ialah bahasa ibunda,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, Lembaga Pepe­riksaan dilapor menangguhkan pelaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran itu untuk memberi ruang dan peluang kepada guru, pelajar serta pihak berkaitan membuat persediaan yang lebih rapi.

Dalam pada itu, Peperiksaan Pusat Amali Sains bagi mata pelajaran Fizik (kod 4531), Kimia (kod 4541), Biologi (kod 4551) dan Sains Tambahan (kod 4561) juga ditangguh untuk memastikan kelengkapan makmal sains sekolah di seluruh negara mencapai piawaian yang ditetapkan sebelum peperiksaan tersebut dilaksanakan.

Mohamed Sabri yang juga Pre­siden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berkata, keperluan dan kelengkapan guru Bahasa Inggeris terutama sekolah di kawasan luar bandar wajar dise­mak semula bagi meningkatkan tahap persediaan mereka.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: