Pelajar SK Parang Puting cetak setem sendiri

MOHAMED FAREEZ NOOR AMRAN (dua dari kanan) menerima setem gambar sendiri daripada Hadzarah Mat Sood di SK Parang Puting, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 21 Ogos – Hampir 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parang Puting, Pengkalan Chepa berpeluang mempunyai setem dengan gambar sendiri sempena Majlis Pelancaran Kelab Filateli Peringkat kebangsaan di sekolah itu, semalam.

Dengan memberi gambar pi­lihan, mereka boleh mencetak setem dan digunakan untuk menghantar surat atau disimpan sebagai kenangan.

Penyelaras Kelab Setem dan Filateli Mentor Zon Timur, Mohd. Zaidi Mat berkata, sempena pelancaran itu juga, SK Parang Puting akan mewakili negeri ini untuk menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada awal Oktober ini.

Katanya, sekolah itu dipilih bagi membantu murid menambah ilmu pengetahun melalui gambar yang tertera pada setem lama yang terkumpul.

“Biarpun hanya sebagai hobi, ia memberi banyak manfaat kepada para pelajar. Melalui gambar yang tertera pada setem tersebut mereka akan dapat mengetahui sejarah negara sejak dahulu sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Yang turut hadir Penyelaras Kembara Setem Kebangsaan, Hadzarah Mat Sood; Guru Besar sekolah tersebut, Sharifah Faridah Syed Bulat.dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Mohamed Fareez Noor Amran.

Pelancaran kelab itu juga diadakan dengan kerjasama Kelab Filateli Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad Maher dan Maktab Sultan Ismail.

Zaidi memberitahu, sejak per­tandingan itu diadakan di peringkat kebangsaan bermula tahun 2013, dua sekolah dari negeri ini telah muncul johan iaitu SK Langgar, Kota Bharu dan SK Gaal, Pasir Puteh.

Tambahnya, terdapat kira-kira 50 buah kelab tersebut di seluruh negeri ini dengan keahlian lebih 200 pelajar.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: