Alasan rasional tangguh 
wajib lulus Bahasa Inggeris

MAHDZIR KHALID

PENDANG 22 Ogos – Persediaan pelajar luar bandar dan masalah dihadapi guru antara perkara yang diberi perhatian oleh Lembaga Peperiksaan apabila menangguhkan pelaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Lembaga Peperiksaan sudah pasti mempunyai asas yang rasional dan kukuh untuk menangguhkan pelaksanaan syarat wajib lulus tersebut.

“Sebab itu mereka ambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan tersebut. Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada bidang pendidikan, saya menyokong usaha yang dibuat oleh Lembaga Peperiksaan.

“Buat masa ini mata pelajaran yang wajib lulus dalam SPM adalah Bahasa Melayu dan Sejarah, kalau ditambah Bahasa Inggeris akan menjadi mata pelajaran ketiga yang wajib lulus,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pendang, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Lembaga Peperiksaan pada Rabu lalu berhubung keputusan penangguhan tersebut dalam memberi ruang dan peluang kepada guru, pelajar serta pihak berkaitan membuat persediaan yang lebih rapi.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan pelaksa­naan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus SPM dan pelaksanaan Peperiksaan Pusat Amali Sains mulai tahun hadapan.

Mengenai isu larangan sekolah di Pulau Pinang terlibat dalam sambutan Hari Kemerdekaan anjuran kerajaan negeri itu, Mahdzir mempertikai tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang tidak mahu menggunakan tema ‘Sehati Sejiwa’ selari sambutan peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya mengikut pendekatan Kelantan dan Selangor yang tiada masalah dalam menggunakan tema ‘Sehati Sejiwa’ untuk sambutan kemerdekaan pada tahun ini.

“Beliau hendak main wayang, mahu ‘checkmate’ kita, mula-mula tulis tema hari Hari Kebangsaan Pulau Pinang adalah Bersih dan ada papan iklan dan kain rentang tertulis perkataan Bersih. Kemudian diviralkan semula semalam dalam media sosial kata Bersih, Cekap dan Amanah.

“Kalau betul ikhlas hendak sambut merdeka, tulislah tiga perkataan itu sejak dari awal lagi, kenapa lepas ada aduan baharu hendak tambah. Jangan dalam hal seperti ini pun hendak main politik,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: