Kecemerlangan akademik perlu seiring dengan kokurikulum

MASIR KUJAT (tiga dari kiri) melepaskan lebih 1,000 anak ikan dalam Program Hari Permuafakatan dan Sarana Ibu Bapa Tingkatan Tiga dan Lima, SMK Melugu, Sri Aman, Sarawak, kelmarin.

SRI AMAN 26 Julai –Kecemerlangan pelajar dalam akademik harus diiringi dengan kokurikulum kerana kedua-duanya sama penting pada masa sekarang.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata, pelajaran adalah penentu masa depan pelajar tetapi pada masa sama mereka tidak boleh mengabaikan untuk bergiat aktif dalam kokurikulum.

“Tiada jalan pintas untuk seseorang itu mencapai kejayaan sebaliknya mereka perlu berusaha gigih, tidak kenal erti putus asa dan dapat menyeimbangkan pencapaian dalam akademik dan sukan bagi mereali­sasikan impian diri serta keluarga.

“Dalam pendidikan bukan sahaja proses pembelajaran akademik sahaja yang penting, pembelajaran dari segi riadah dan rekreasi juga sama penting memastikan kecergasan dan kecerdasan otak pelajar untuk meneruskan sesi pembelajaran akademik yang lebih mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Permuafakatan dan Sarana Ibu Bapa Tingkatan Tiga dan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu, semalam.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan seba­nyak RM30,000 kepada SMK Melugu bagi kerja baik pulih bilik kakitangan dan membaiki alat penyaman udara serta melepaskan lebih 1,000 ekor anak ikan di kolam sekolah itu.

Tambah Masir, ramai pelajar cemerlang dalam akademik sukar mendapat tempat di institusi pengajian tinggi berbanding mereka yang berkebolehan dalam kedua-dua bidang.

“Oleh itu, penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum di sekolah bukanlah usaha sia-sia, sebaliknya akan membantu mereka pada kemudian hari dalam menempuh cabaran yang lebih besar.

“Falsafah pendidikan negara amat jelas iaitu berusaha secara berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” jelasnya

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: