Najib bangga prestasi Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR 8 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berbangga dengan prestasi Kementerian Pendidikan dalam usaha memartabatkan bidang pendidikan negara.

Perdana Menteri berkata, terdapat kesinambungan terhadap perjuangan dan usaha beliau untuk memajukan bidang pendidikan yang dimulakannya semasa menjadi Menteri Pendidikan dahulu.

Beliau memberitahu, sebahagian daripada inisiatif yang dimulakannya bukan sahaja disambung oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah diangkat pencapaiannya ke tahap lebih tinggi.

“Kebajikan guru-guru sentiasa saya beri perhatian, kalau dulu pada zaman saya, lulusan maktab perguruan mendapat diploma dan masuk pada gred 32.

“Hari ini, lulusan institut pendidikan guru yang begitu tinggi tarafnya dan bila masuk dalam perkhidmatan, mereka bermula pada gred 41,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Iftar Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan.

Najib dan Muhyiddin turut menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah bersama warga pendidik di Masjid Imam As-Shafie, IPG kampus berkenaan.

Perdana Menteri menambah, perancangan yang dilakukan oleh kerajaan akan menyumbang kepada masa depan pendidikan negara yang lebih cemerlang.

“Kualiti guru-guru pelatih hari ini jauh lebih baik daripada dahulu dan antara sebabnya adalah perkhidmatan yang kita sediakan dari segi taraf kemasukan dan peluang kenaikan pangkat sehingga saya difahamkan, kira-kira 60,000 orang memohon menjadi guru setiap tahun,” ujarnya.

Beliau juga percaya segala perancangan yang dibuat oleh Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Perdana Menteri memberitahu, guru-guru muda bukan sahaja perlu berkualiti dari segi pencapaian akademik malah mereka seharusnya mempunyai komitmen dan semangat yang tinggi.

Beliau berkata, komitmen dan semangat untuk menjadi guru yang berkaliber hendaklah dipupuk mulai dari saat mereka menerima latihan di institusi pendidikan guru.

“Inilah yang mesti kita pupuk, bukan sahaja dari kurikulum tetapi dari segi hati, nurani dan semangat,” jelasnya.

Menurut Najib, guru-guru yang mempunyai komitmen dan semangat yang tinggi pasti bersedia untuk dihantar bertugas di mana-mana lokasi di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman.

Beliau turut menangkis tanggapan segelintir pihak yang mendakwa Kementerian Pendidikan merupakan sebuah kementerian yang memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Bukan wang yang mengalir keluar tetapi wang yang membentuk insan yang kita bentuk sebaik-baiknya agar dapat meletakkan negara di puncak kejayaan satu hari nanti,” katany

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: