Malaysia kongsi kepakaran

MUHYIDDIN YASSIN mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Jamaica, Reverend Ronald Thwaites (dua dari kiri) ketika sesi rehat Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (CCEM) Ke-19 di Nassau, Bahamas pada 24 Jun lalu.

 

DALAM apa jua situasi atau program yang mahu dilaksanakan, perbincangan atau perkongsian idea selalunya memberi hasil yang lebih baik berban­ding jika dilakukan berseorangan.

Tambahan pula dalam isu melibatkan pendidikan, sudah tentu pandangan pakar dari dalam negara serta pengalaman negara-negara jiran dan serantau boleh diambil kira jika hasilnya terbukti mampu melahirkan sumber tenaga yang menepati kehendak nasional.

Semangat itu yang ditonjolkan oleh Malaysia pada Persidang­an Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (CCEM) Ke-19 di Nassau, Bahamas akhir bulan lalu dalam usa­ha membantu sesama negara anggota pertubuhan itu meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan.

Hal ini kerana Malaysia menye­dari semua negara waima yang kecil dan miskin pun mempunyai ke­lebihan serta pencapaian tersendiri dalam bidang-bidang yang kita masih ketinggalan dan kepakaran mereka boleh dikongsi bersama.

Menyedari potensi besar yang boleh dimanfaatkan daripada perkongsian pengalaman dan ilmu, banyak yang ditawarkan oleh Malaysia kepada rakan-rakan anggota Komanwel bagi melihat peningkat­an pembabitan serta percantuman idea dan perkongsian pintar.

Komitmen terbaharu Malaysia itu dizahirkan menerusi pemberian sumbangan AS$200,000 (RM750,000) untuk membantu Commonwealth of Learning (COL) ke arah mencapai matlamat me­ningkatkan pendidikan dan latihan vokasional yang diperlukan oleh negara-negara anggota.

Bantuan Malaysia itu sememang­nya dinanti-nantikan oleh negara-negara kecil terutama di rantau Afrika dan Kepulauan Caribbean untuk meningkatkan sektor pendidikan mereka.

Justeru, tidak hairanlah apabila pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan itu disambut dengan tepukan.

Pengumuman itu adalah iltizam Malaysia untuk membantu COL, penerima sumbangan berkenaan ke arah mencapai matlamatnya.

Beribu pejabat di Burnaby, Bri­tish Columbia, Kanada, COL menggalakkan pembangunan dan perkongsian pembelajaran terbuka serta pene­rokaan ilmu pendidikan, sumber dan teknologi secara jarak jauh.

Turut ditonjolkan adalah Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia yang meliputi pendidikan prasekolah, pendidikan asas, hinggalah kepada pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat melalui pelbagai inisiatif yang disediakan dalam pelbagai bidang.

Paling menarik perhatian negara anggota adalah usaha Malaysia untuk memperkemaskan penawaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk cara bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran pelajar selain fokus utama terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), iaitu formula dan kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan sumber manusia sesebuah negara.

Antara negara yang menerima manfaat daripada perkongsian pintar dengan Malaysia adalah Bahamas dan Jamaica, dua negara kecil di Kepulauan Caribbean.

Bahamas bakal menerima bantuan Malaysia untuk melaksanakan latihan dalam bidang-bidang yang mereka perlukan manakala Jamaica pula lebih berminat untuk mengadakan kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi.

Malaysia pula menerima faedah daripada kerjasama itu apabila Jamaica menawarkan kepakaran mereka dalam pembangunan sukan.

Dengan rekod cemerlang dalam melahirkan jaguh-jaguh Olimpik olahraga seperti Usain Bolt, tawaran Jamaica itu datang tepat pada masanya memandangkan bidang berkenaan bukan kekuatan Malaysia.

Pada Sukan SEA 2015 di Singa­pura, pencapaian Malaysia dalam olahraga jauh ketinggalan berban­ding negara-negara serantau de­ngan hanya mengutip tiga emas.

Menerusi tawaran Jamaica itu, Malaysia boleh belajar sistem pendidikan sukan di sekolah-sekolah di negara berkenaan termasuk kurikulum sukan, jadual latihan serta kandungan akademik yang diguna pakai.

Paling penting, sistem pendidikan sukan itu nanti turut akan memberi manfaat kepada Kementerian Belia dan Sukan dalam melahirkan golongan atlet menerusi tiga sekolah sukan sedia ada dan dua lagi yang akan dibangunkan.

Pembangunan sukan juga boleh membantu Kementerian Pendidikan menjayakan dasar 1Murid 1Sukan sebagai usaha melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selain sebagai alat utama perpaduan kerana telah terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: