UMC galak kemahiran berfikir aras tinggi

Mohd. Mustafa Mohd. Ghazali (kiri) menyampaikan replika cek kemenangan kepada pasukan MRSM Tun Ghafar Baba yang dinobatkan juara edisi pertama UMC 2015 di Fakulti Pendidikan UiTM, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

 

Pertandingan Ultimate Ma­thematics Challenge (UMC) 2015 yang menekankan konsep penyelesaian masalah berkaitan matematik menepati aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025.

Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Mustafa Mohd. Ghazali berkata, penganjuran UMC 2015 tepat pada masanya memandang­kan ketika ini pembelajaran lebih ke arah membina kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam kalangan pelajar.

“Edisi pertama UMC ini juga menjadi platform menguji penguasaan pelajar khususnya dalam mata pelajaran Matematik bagi membentuk modal insan yang kompetitif pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah UMC 2015 di kampus Fakulti Pendidikan UiTM, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Antara objektif UMC 2015 anjuran Persatuan Gabungan Pelajar Matematik Pendidikan (MESA) Fakulti Pendidikan UiTM ini termasuklah menghilangkan perasaan fobia matematik dalam menjawab soalan-soalan berasaskan KBAT, melonjakkan daya saing, memperkasakan pelajar dengan pemikiran analitikal dan kreatif dalam menyeselaikan masalah.

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka yang diwakili empat pelajar tingkatan lima, Muhammad Haris Afiq Rafingei, Mohammad Kamil Hanafi Abd. Aziz, Abid Zahin Azizi dan Muhammad Aiman Ashley Mohd. Kamal menewaskan cabaran 59 sekolah lain untuk muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,500 dan piala pusingan UMC.

Tempat kedua menjadi milik Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gopeng, Perak manakala tempat ketiga ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 12.

Secara keseluruhan, 250 pelajar tingkatan 4 dan 5 mewakili 60 sekolah yang terdiri daripada SBP, MRSM dan empat sekolah mene­ngah harian di Selangor menyertai UMC 2015.

Sementara itu, Pengarah Progrm UMC 2015, Syed Muhammad Fahmi Syed Mahizan berkata, me­lalui pertandingan ini dapat menggalakkan dan menerapkan pelajar sekolah menengah untuk berfikir secara kritis terutama dalam mata pelajaran Matematik.

“Pertandingan matematik ini sa­ngat baik dan unik kerana menekankan penguasaan KBAT seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan dan bagi menjamin Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020,” ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: