SISC+ bantu lahir guru berkemahiran tinggi, murid kreatif

ALOR GAJAH 19 Jun – Inisiatif Kementerian Pendidikan dalam memperkenalkan program Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah atau School Improvement Specialist Coaches (SISC) bagi membimbing guru terpilih dilihat berupaya melahirkan golongan pendidik berkemahiran tinggi selaras perkembangan semasa.

Program bimbingan khas kepada guru berkeperluan tersebut bertujuan menjadikan aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah lebih menarik dan berkesan dengan penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid.

Pada dasarnya, SISC yang sebahagian besarnya dilantik kalangan guru cemerlang telah dimulakan secara berperingkat oleh Kementerian Pendidikan di dua negeri perintis iaitu Kedah serta Sabah pada 2012.

Melihat kepada keberkesanan program SISC yang telah dijalankan, kementerian kemudian mewujudkan jawatan baharu dikenali sebagai SISC+ mulai 2014 dengan pelaksanaan program serupa merangkumi semua negeri di seluruh negara.

Pegawai SISC+ Bahasa Melayu Sekolah Rendah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Zuraini Bakri berkata, peranan utama SISC+ ini adalah memberi latihan terutamanya kepada guru yang lemah ketika proses P&P dalam kelas merangkumi tiga subjek teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Menurutnya, bidang tugas SISC+ adalah untuk membimbing guru berkenaan dalam aspek pedagogi, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selain menjadi penghubung antara pihak kementerian dengan sekolah.

“Melalui pelaksanaan SISC+ ini, guru lemah akan didedahkan kepada bimbingan proses P&P dalam bilik darjah menjurus kepada pembelajaran abad ke-21 dan bukan kaedah lama yang membosankan seperti menulis dan menerangkan kepada murid talk and chalk sahaja.

“Guru-guru juga akan ditekankan mengenai kaedah yang bukan berorientasikan peperiksaan semata-mata sebaliknya lebih kepada membimbing mereka melaksanakan P&P dalam kelas untuk disesuaikan dengan pendekatan Pemikiran Inovatif iThink dan KBAT,” katanya ketika ditemui di PPD Alor Gajah, di sini hari ini.

Jelas Zuraini, beliau akan membimbing guru-guru terpilih untuk mengikuti program tersebut sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali dalam setahun dan kesan pelaksanaan program itu terhadap guru berkenaan dapat dilihat dengan segera.

Hasil pemantauan pelaksanaan program tersebut sejak tahun lalu katanya, semasa bimbingan kali pertama, guru-guru tidak banyak melakukan aktiviti dalam kelas termasuk tidak memberikan soalan KBAT dan tiada penggunaan peta minda semasa proses P&P.

“Semasa bimbingan kali kedua, guru tersebut sudah nampak perubahan dan berupaya mencipta soalan KBAT bersesuaian dengan aras murid yang membolehkan murid berfikir jauh selain boleh mengupas soalan diberikan secara lebih kreatif,” ujarnya.

Beliau berkata, melalui bim­bingan itu, guru boleh mengetengahkan potensi serta membantu perkembangan minda murid melalui sesi soal jawab malah menjadikan mereka lebih berani untuk berhujah dan memberikan pendapat semasa di dalam kelas.

“Perkembangan positif di kalangan murid itu jelas hanya mampu dilaksanakan melalui inisiatif guru semasa proses P&P dalam bilik darjah dan SISC+ berperanan membantu guru ke arah itu,” jelasnya.

Zuraini berkata, SISC+ tidak berorientasikan kepada keputusan peperiksaan semata-mata namun lebih kepada perananannya untuk membimbing guru dalam bilik darjah agar mereka dapat mengajar dengan lebih baik dan berkualiti.

“Kita mahu guru lebih fokus kepada objektif pengajarannya dan melalui bimbingan SISC+, guru diterapkan agar dapat menulis objektif pengajarannya supaya tidak lari daripada landasan seterusnya mencapai objektif yang diinginkan,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai SISC+ Bahasa Melayu Sekolah Menengah, PPD Jasin, Dr. Mohd. Azam Ahmad pula memberitahu, program SISC+ yang diperkenalkan itu menjurus kepada proses membimbing ke arah amalan pedagogi yang baik, kreatif, inovatif, berkesan serta mempunyai elemen didik hibur.

Beliau berkata, SISC+ akan membimbing guru terpilih untuk melaksanakan KBAT di dalam kelas merangkumi teknik menyoal soalan oleh guru melalui soalan bersifat terbuka seterusnya membolehkan murid berfikir, berbincang dan memberi pendapat secara terbuka.

Jelasnya, aktiviti perbincangan yang diadakan oleh murid itu secara tidak langsung akan menimbulkan proses KBAT di mana mereka akan merangkumkan semua kemahiran dimiliki untuk mencari penyelesaian soalan.

“Dalam proses perbincangan itu pula, guru dapat membina kemahiran berkomunikasi kalangan murid dan semasa sesi pembentangan pula, guru dapat mencungkil kemahiran komunikasi dua hala termasuk teknik soal jawab. Di sini kita dapat lihat satu lagi proses KBAT itu berlaku,” katanya.

Tambah Mohd. Azam, peranan SISC+ adalah untuk membantu Kementerian Pendidikan melaksanakan KBAT secara betul dan menggunakan pendekatan yang berkesan yang akhirnya memberi proses pembelajaran bermakna kepada murid.

“P&P yang berkesan seterusnya akan memberi impak kepada peperiksaan namun apa yang paling penting kita mahu lihat proses memajukan potensi diri murid termasuk pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, integrasi nasional dan sebagainya dapat ditingkatkan,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, SISC+ turut memainkan peranan untuk menggalakkan guru mengetengahkan pendekatan konsep pendidikan abad ke-21 termasuklah kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran komunikasi dan kemahiran untuk hidup.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan murid berfikiran tinggi bagi menyediakan mereka untuk kehidupan zaman K-Ekonomi pada abad ke-21 yang memerlukan ilmu pengetahuan untuk berjaya,” jelasnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: