Mantap, perkasa sistem pendidikan (Kerajaan Sabah komited lahirkan insan lebih berdaya saing)

MUSA AMAN (duduk tengah) bersama Sapawi Ahmad (kiri) dan Jame Alip (kanan) bersama para pelajar cemerlang yang menerima biasiswa dalam majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah 2015, di Kota Kinabalu, kelmarin.

 

KOTA KINABALU 17 Jun – Kerajaan negeri komited untuk memperkasa dan memantapkan usaha pembangunan sistem pendidikan di negeri ini bagi melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing serta mempunyai pengetahuan luas pada masa hadapan.

Jaminan itu jelas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman akan dilaksanakan bersama kerajaan Persekutuan melalui peruntukan dana yang besar bagi meningkatkan infrastruktur pendidikan di negeri ini.

“Kerajaan sentiasa mewujudkan suasana sistem pendidikan yang terbaik kepada anak-anak negeri ini agar mereka memiliki pengetahuan luas serta mempunyai kemahiran dalam bidang yang diceburi.

“Usaha murni ini bagi melahirkan anak tempatan yang berjaya sekali gus menjadi aset kepada ne-geri ini dan negara di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah 2015 Siri Ke-26 di Auditorium Tun Ahmad Raffae di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pendidikan negeri, Datuk Masidi Manjun dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Jame Alip.

Pada majlis itu, Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkesempatan menyampaikan anugerah biasiswa kepada 25 pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.

Selain itu, selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, beliau berkata, matlamat utama Yayasan Sabah diwujudkan sejak 1997 adalah memberi ruang kepada anak-anak tempatan berjaya dalam bidang pendidikan.

Ujarnya, anugerah seperti ini membuktikan kesungguhan Yayasan Sabah dalam membantu anak-anak tempatan mencapai matlamat tersebut.

“Yayasan Sabah terbukti berjaya melahirkan ramai insan cemerlang. Terdapat dalam kalangan penerima sebelum ini berjaya pada bidang ma-sing-masing seperti doktor, akauntan, jurutera dan lain-lain,” katanya.

Seramai 439 individu menerima tajaan biasiswa Yayasan Sabah sejak diwujudkan 26 tahun lalu. Daripada jumlah itu, seramai 309 pene-rima telah menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: